Friday 18 December 2020

DIET PUASA BERSELA INTERMITTENT FASTING IF

Amalan ‘intermittent fasting’ (IF) atau diet puasa bersela, yakni mengikut tempoh masa tertentu telah lama diamalkan dalam masyarakat sejak ribuan tahun dahulu oleh para nabi dan pengikut mereka.

Bahkan, puasa bukan sahaja dianggap diet, tetapi ibadat yang wajib dilaksanakan megikut peraturan yang ditetapkan. Ibadat puasa selama sebulan dalam bulan Ramadan adalah Rukun Islam yang wajib dilaksanakan setiap umat Islam yang cukup syarat ditetapkan.  

Selain itu, dianjurkan agar berpuasa sunat pada setiap Isnin dan Khamis yang menjadi amalan Nabi Muhammad SAW. Bahkan, bagi yang lebih cekal, mereka boleh mengamalkan puasa Nabi Daud iaitu puasa selang sehari.

Bepuasa diakui cara terbaik untuk mengawal berat badan dan menjaga kesihatan, serta satu proses untuk mengubati pelbagai jenis penyakit.

Perut adalah tempat punca penyakit jika cara makan tidak dikawal dan tidak memberi ruang proses penghadaman yang sempurna.

Jadi, berpuasa memberi ‘rehat’ kepada sistem penghadaman dan dapat berfungsi dengan baik apabila diperlukan.

Jadi tidak hairanlah jika sejak kebelakangan ini, IF menjadi amat popular dalam kalangan masyarakat sebagai satu kaedah untuk menurunkan berat badan kerana ia dikatakan lebih ‘mesra’ dan tidak membebankan pencuba diet.

Pada asasnya IF dilakukan dengan makan secara biasa pada beberapa hari dalam seminggu dan makan sedikit ataupun tidak makan langsung pada hari yang lain.

Puasa yang dimaksudkan hanyalah puasa makan saja dan pengamal diet ini masih boleh minum sepanjang tempoh mereka ‘berpuasa’. Penyokong amalan diet ini mempercayai melalui puasa, pengambilan kalori daripada makanan menjadi lebih sedikit daripada kalori yang dibakar dan seterusnya menyumbang kepada penurunan berat badan.

Melalui puasa juga badan kita akan menjadi lebih responsif terhadap hormon insulin, iaitu hormon yang dikeluarkan apabila kita makan, berfungsi untuk menyimpan gula dalam badan sebagai sumber tenaga.

Hormon insulin menjadi berkurangan apabila kita berpuasa dan seterusnya memberi isyarat kepada badan untuk membakar gula simpanan supaya menghasilkan tenaga bagi kegunaan aktiviti harian.

Apabila simpanan gula habis dibakar, badan kita akan mula membakar lemak untuk menghasilkan tenaga dan seterusnya mencapai penurunan berat badan.

CARA MELAKUKAN DIET IF

Terdapat berbagai cara untuk melakukan IF. Antara tiga kaedah yang paling popular:

Mengehadkan masa makan.Berpuasa sekurang-kurangnya selama 12 jam (12 jam puasa, 12 jam boleh makan) atau boleh dilanjutkan sehingga 16 jam (16:8 iaitu 16 jam berpuasa dan lapan jam boleh makan). Tempoh untuk mengambil makanan adalah selama lapan jam. Maknanya kita boleh makan pada sebarang waktu dalam tempoh lapan jam ini. Contohnya, hanya makan dalam tempoh antara jam 11 pagi hingga 7 malam. Selepas jam 7, maka bermulalah fasa ‘berpuasa’ hingga jam 7 pagi keesokan pagi.

Puasa selang sehari. Puasa selang sehari dengan makan seperti biasa. Pada hari puasa, kita dikehendaki mengambil makanan kurang daripada 25 peratus keperluan tenaga harian atau sekitar 500 hingga 600 kalori untuk sehari.

Kaedah 5 dan 2. Dilakukan dengan cara mengambil makanan kurang daripada 25 peratus keperluan tenaga harian, iaitu sekitar 500 hingga 600 kalori untuk satu hari pada dua hari yang bukan berturutan. Seseorang masih boleh mengambil makanan secara biasa pada lima hari yang lain dalam seminggu. Dua hari yang dihadkan kalori ini boleh berselang sehari atau beberapa hari, asal tidak berturut-turut.

Konsep IF dianggap mudah diamalkan kerana ia tidak menghalang daripada minum air sepanjang berpuasa.  Paling penting, ia boleh dilakukan secara konsisten, tanpa mengalami kelaparan melampau dan masih dapat menikmati keenakan serta khasiat makanan dalam kuantiti sedikit dan terkawal.

Kunci untuk amalan diet IF adalah tidak makan secara berlebihan pada hari yang ‘boleh makan’ kerana keinginan mahu makan ataupun rasa lapar akan menjadi kuat selepas kita berpuasa.


No comments:

Post a Comment