Saturday 9 December 2017

Gobek sirih keperluan orang tua dahulu

Gobek sirih kebiasaannya dibuat dari tembaga. Terdiri dua komponen atau bahagian iaitu ibu gobek dan anak gobek. Kegunaan gobek untuk menghancurkan buah pinang, daun sirih dan ramuannya. Alat gobek menjadi keperluan kepada golongan tua yang suka makan sirih. 

Ibu gobek berbentuk silinder dan berlubang di tengah dari hujung hingga ke pangkalnya. Di bahagian hujungnya disumbatkan dengan kayu yang sama besar dengan saiz lubang tersebut.

Manakala bahagian anak gobek adaah besi padu yang berukuran lebih kecil dari lubang ibu gobek. Anak gobek mempunyai hulu sebagai tempat untuk dipegang semasa proses 'gobek' dan di hujung ada mata tajam seperti pemutar sekru.

Gobek digunakan untuk menghancurkan sirih dengan ramuannya seperti pinang, kapur dan gambir. Ramuan yang dimasukkan bersekali itu akan ditujah-tujah sehingga hancur. Setelah lumat, kayu di bahagian bawah akan ditolak sehingga mengeluarkan kandungan yang dilumatkan itu.

Kandungan yang telah lumat itu dipanggil 'piak' yang kemudiannya dibungkuskan di dalam daun sirih sebelum dimakan.  

Untuk mudah difahami, ibu gobek dan anak gobek berperanan seperti antan dan lesung. Pada sesetengah gobek ianya diukir dengan berbagai corak yang menarik sesuai mengikut kebudayaan bangsa tersebut, sama ada di bahagian badan ibu gobek atau hulu anak gobek.

Kebiasaannya digunakan oleh orang tua yang tiada gigi dan tidak mampu untuk mengunyah sirih dan ramuannya sekali, terutama buah pinang yang keras.

Nenek tua yang sudah tidak mempunyai gigi akan berdamping rapat dengan gobek bagi membolehkannya menghilangkan ketagihan makan sirih.

No comments:

Post a Comment