Wednesday 25 October 2023

SEJARAH LAPANGAN TERBANG TAWAU LAMA

 
Di Tawau ada dua lapangan terbang. Pertama dikenali Lapangan Terbang Tawau Lama dan satu lagi Lapangan Terbang Tawau. Perkataan lama digunakan bagi membezakan antara dua lapangan terbang tersebut. Lapangan Terbang Tawau Lama kini tidak lagi beroperasi. Semua penerbangan ke Tawau dilakukan melalui Lapangan Terbang Tawau.
 
Lapangan Terbang Tawau lama terletak di Jalan Utara, iaitu kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar Tawau. Kini dekat sangat dengan bandar, bahkan boleh dianggap sebagai sebahagian kawasan bandar.
 
Lapangan terbang tersebut dibuka secara rasminya pada tahun 1968 oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Tan Sri Sardon Jubir. Ia hanya digunakan untuk menampung pesawat kecil contohnya Fokker 50.
 
Bagaimanapun, pada awal 80-an, Boeing 737 milik syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) membuat penerbangan sulung ke lapangan terbang Tawau selepas landasannya diperbesarkan.
 
Pada 15 September 1995, satu tragedi berlaku apabila sebuah pesawat Fokker 50 milik MAS yang membuat penerbangan dari Kota Kinabalu mendarat 500 meter dari hujung landasan 2200 meter tersebut. Dalam cubaan untuk membuat pusingan, pesawat tersebut teerhempas di Kampung Seri Menanti, mengakibatkan 34 maut, termasuk dua krew pesawat. Manakala 19 orang penumpang lain selamat.
 
Sebelum itu, pada 20 Mac 1995, sebuah pesawat kargo Cessna Caravan turut terhempas berikutan gagal untuk berlepas sengan sempurna. Sebuah lagi pesawat Boeing 737 telah tergelincir dari landasan pada Oktober 2001 tanpa menyebabkan sebarang kecederaan kepada penumpang.
 
Mengikut satu tinjauan, Lapangan Terbang Tawau Lama mempunyai landasan yang terpendek di Malaysia. Jadi, ia tidak sesuai untuk mengendalikan pesawat besar, sedangkan ia diperlukan untuk menampung bilangan penumpang yang ramai.
 
Justeru, kerajaan memutuskan untuk membina sebuah lapangan terbang baharu di lokasi lebih sesuai. Kerajaan telah memilih satu lokasi kira-kira 30 kilomter dari bandar Tawau yang dihubungkan melalui Lebuh Raya Tawau – Semporna.
 
Dengan panjang landasan penuh 3,000 meter dan mampu menampung kapasiti lebih 1.4 juta orang penumpang setahun, Lapangan Terbang Tawau menjadi lapangan terbang kedua terbesar di Sabah selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
 
Lapangan Terbang Tawau mula beroperasi pada Disember 2001 dan telah dirasmikan pada tahun 2003 oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Tun Dr Ling Liong Sik.
 
Dengan beroperasinya Lapangan Terbang Tawau, maka berakhirlah operasi Lapangan Terbang Tawau Lama dan menjadi sebahagian sejarah Tawau.

Lapangan Terbang Tawau
 

No comments:

Post a Comment