Friday 22 September 2023

TAHI CICAK BATALKAN SEMBAHYANG

 
Segala jenis tahi adalah najis. Apabila terkena pakaian, wajib dicuci sebelum memakainya ketika solat. Jika menyedari ada najis pada pakaian setelah solat, solat batal dan wajib diulang semula.
 
Jika ingin memakai pakaian yang terkena najis, wajib membasuh kawasan yang dikenai najis, kemudian baru memakainya untuk solat.
 
Najis dimaafkan jika terlalu sedikit, payah dijaga dan sukar dielakkan. Najis yang dianggap sedikit ialah yang tidak kelihatan oleh mata.
 
Contohnya lalat yang hinggap di baju kita. Kemungkinan ada najis yang dibawanya. Namun najis itu dimaafkan kerana tidak dilihat oleh mata.
 
Adapun tahi cicak, ia dapat dilihat oleh mata, kerana itu dikira banyak dan tidak dimaafkan. Maka wajiblah diulangi semula solat.

Itu adalah menurut mazhab Syafiie. Sebahagian ulama (antaranya mazhab Maliki) berkata; najis dikira banyak apabila melebihi saiz satu dirham. Jika kurang dari saiz itu, dikira sedikit dan dimaafkan. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 40/114).

Menurut ulama, najis ketika kering tidak akan berpindah kepada orang atau objek yang menyentuhnya. Maka apabila kita menyentuh najis ketika kita kering dan najis itu juga kering, tidak dituntut kita membasuh anggota atau pakaian kita yang menyentuh najis itu kerana pemindahan najis tidak berlaku.
 
Maka apabila pakaian kita terkena tahi cicak kering (atau kita memijaknya), memadai dengan kita membuangnya dan tidak wajib kita membasuh pakaian kita.
 
Hukum yang sama bagi kes terpijak tahi anjing kering. Namun jika tahi kering itu melekat pada pakaian atau anggota kita dan kita hanya menyedarinya selepas solat, solat kita dikira batal kerana kita solat dalam keadaan membawa najis. Hendaklah dibuang najis kering itu, kemudian ulang semula solat.
 
Pada asalnya, mazhab Syafie memandang tinja, bahan buangan dan kencing itu najis daripada sekalian haiwan sekalipun binatang yang dimakan dan tidak dimakan.
 
Namun ada beberapa keadaan, yakni berlaku umm al-balwa, keadaan apabila keberadaan najis itu susah dikawal dan dielakkan, seperti tahi burung di masjid, tinja ikan di dalam air dan tinja belalang, dan tinja haiwan yang tidak ada darah mengalir di dalam badannya termasuklah cicak mengikut pandangan sebahagian ulama, maka ia dianggap najis juga, tetapi dimaafkan kerana sukar untuk dielakkan. (Rujuk kenyataan Imam Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (2/550); Nihayah al-Muhtaj (1/80).

Justeru, jika tahi cicak itu boleh dielakkan, maka jika terpijak, dianggap najis yang perlu dibuang dan boleh merosakkan solat. Namun jika sedikit, dan akibat sukar untuk mengelakkannya, tidaklah merosakkan solat kerana najis itu dimaafkan.
 
Namun, perlu ditegaskan bahawa terkena najis cicak tidak menyebabkan batal air sembahyang atau wuduk. Ketika ada air sembahyang dan terkena tahi cicak, wuduk itu tidak batal, tetapi perlu dibersihkan sebelum bersembahyang.
 
Jika tidak dibersihkan najis cicak itu akan menyebabkan sembahayang tidak sah kerana bahagian badan atau pakaian yang digunakan ketika bersembahyang itu terkena najis.
 
Salah satu syarat sah sembahyang ialah suci daripada najis pada bahagian badan, pakaian (termasuk apa-apa yang berada di badan) dan tempat.

No comments:

Post a Comment