Setiap negara merdeka dan berdaulat
mempunyai bendera masing-masing. Bahkan, pertubuhan parti politik, persatuan
dan syarikat juga mempunyai bendera sebagai lambang identiti mereka. Bendera
menjadi lambang kemegahan setiap rakyat yang cintakan negara. Kita dapat
mengenali sesebuah negara berdasarkan benderanya.
Bendera Malaysia dikenali dengan nama Jalur
Gemilang dalam satu majlis pengiystiharan pada 30 Ogos 1997, pukul 11.58 malam
di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Sejarah Jalur Gemilang bermula apabila
akhbar The Malay Mail menjalankan pendapat umum terhadap tiga reka bentuk yang
terpilih di peringkat akhir pertandingan mereka bentuk bendera Persekutuan
Tanah Melayu yang dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun
1949.
Persekutuan Tanah Melayu perlu memiliki bendera
sendiri kerana negara dalam proses mencapai kemerdekaan. Ketika itu bendera
rasmi di negara kita adalah Union Jack iaitu bendera negara British yang
menjajah negara kita.
Pada 28 November 1949, majoriti rakyat
memilih reka bentuk ketiga ciptaan seorang pekerja Jabatan Kerja Raya, Johor
bernama Mohamad Hamzah. Reka bentuk itu telah dibuat beberapa pindaan dan telah
mendapat pekenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 23 Febuari 1950.
Selanjutnya, pada 19 Mei 1950, kerajaan
British telah meluluskan reka bentuk berdera itu, sama seperti Jalur Gemilang
sekarang, Cuma bezanya pada masa itu hanya terdapat 11 jalur merah
putih.
Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan
secara rasminya pada 26 Mei 1950 di pekarangan Istana Sultan Selangor yang
dihadiri oleh semua raja-raja Melayu, pembesar Melayu dan wakil kerajaan
British.
Namun, Jalur Gemilang belum lagi dianggap
bendera kepada sebuah negara berdaulat pada ketika itu kerana Persekutuan Tanah
Melayu masih dijajah oleh Brisith. Jalur Gemilang menjadi saksi kedaulatan
negara apabila kali pertama dikibarkan di Dataran Merdeka pada jam 12.00 malam
31 Ogos 1957 dan serentak dengan itu bendera Union Jack diturunkan sebagai
tanda tamatnya pemerintahan British di negara kita.
Itulah sejarah bermulanya Jalur Gemilang
yang menjadi lambang kemegahan negara.
Bendera tidak sekadar sehelai kain yang
diwarnakan, tetapi menjadi lambang yang menunjukkan kedaulatana sesebuah negeri
atau negara. Pujangga berkata: "bendera adalah suatu perkara mudah iaitu
tidak lebih daripada secebis kain berwarna. Namun, kerananya manusia sanggup
bermati-matian."
Bendera dikaitkan dengan semangat dan
kecintaan terhadap negara. Sebab itu, bendera atau panji-panji dibawa dalam
peperangan pada zaman dahulu. Bendera dibawa oleh tentera paling gagah dan
berada di bahagian depan pertempuran.
Jika sekiranya pembawa bendera maut atau
tidak lagi mampu menjalankan tanggungjawab itu, maka cepat-cepat akan diambil
oleh tentera lain. Ketiadaan bendera boleh dianggap bahawa pasukan itu telah
kalah.
Tentulah sedih jika melihat Jalur Gemilang
tidak dihormati. Contohnya apabila bendera dikibarkan dalam keadaan lusuh
warnanya, malah ada yang telah koyak dan sukar dipanggil
bendera.
Jalur Gemilang dibiarkan di kedudukannya
sepanjang masa tanpa diturunkan, termasuk waktu malam, hujan dan panas.
Sebab itu keadaan menjadi lusuh dan koyak.
Sepatutnya, bendera dinaikkan pada waktu
pagi dan diturunkan pada waktu malam.
Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1994 yang
dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan menetapkan supaya bendera dikibarkan dan
diturunkan di bangunan-bangunan kerajaan mengikut waktu pejabat biasa dan di
sekolah-sekolah mengikut waktu kelas pertama dan menurunkan selepas kelas
terakhir tamat.
Manakala dalam tradisi tentera di negara
kita, Jalur Gemilang dikibarkan mulai pukul 7.00 pagi dan diturunkan pada pukul
7.00 malam.
Bendera merupakan lambang kepimpinan,
simbol penghormatan dan maruah bagi sesebuah negara. Setiap negara mempunyai
bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga, hormat dan rasa
kecintaan terhadap tanah air.
No comments:
Post a Comment