Tuesday, 7 November 2023

REBUNG BULUH MADU TIDAK MIANG

 
Rebung buluh sedap dijadikan sayur segar atau dijeruk. Masakan rebung buluh (bamboo shoot) merupakan salah satu makanan kesukaan ramai sejak dahulu. Untuk mendapatkan rebung buluh biasanya terpaksa berdepan dengan bulu halus yang menyebabkan miang. Sebab itu, tidak ramai suka mengambil rebung buluh.
 
Namun, ada jenis yang tiada bulu halus. Jenis buluh itu dikenali buluh madu. Ia bukan sahaja tidak menyebabkan miang, tetapi juga tidak ada bau yang tidak menyenangkan.
 
Buluh madu atau nama saintifiknya Gigantochloa Albociliata adalah sejenis pokok buluh dan tumbuhan daripada keluarga Poaceae yang mampu menghasilkan rebung yang dikenali sebagai rebung madu.
 
Menyedari potensi pokok buluh madu yang juga menghasilkan rebung dengan rasa lemak manis dan rangup terutama dalam dunia masakan Melayu tradisional, kini ada pihak yang mengusahakan tanaman buluh madu.
 
Tanaman pokok buluh madu mengambil masa setahun untuk mengeluarkan hasil iaitu rebung madu.
 
Bagi memastikan pokok buluh madu mengeluarkan banyak rebung, setiap rumpun buluh hanya perlu mempunyai lima atau enam pokok buluh sahaja.
 
Untuk memastikan rumpun pokok buluh madu mengeluarkan rebung yang banyak, kerja pemangkasan tunas sisi dan pengambilan rebung perlu dilakukan secara berkala.
 
Tunas pokok buluh yang ketujuh dan seterusnya yang mengeluarkan rebung baru boleh diambil rebungnya sebelum menjadi pokok buluh.
 
Untuk itu, tunas pokok buluh yang kedua sehingga keenam perlu dibiarkan menjadi pokok buluh supaya dapat membentuk rumpun pokok buluh.
 
Setiap rumpun pokok buluh madu jika dijaga dan dibaja dengan baik mampu mengeluarkan hasil kira-kira empat kilogram (kg) rebung madu.
 
Hasil tuaian rebung madu bukan sahaja untuk masakan segar, bahkan ia boleh dijeruk dan dibuat acar rebung madu.
 
Selain ditanam di kebun, pokok buluh madu ini juga boleh ditanam di kawasan lapang berdekatan rumah. Ia mendatangkan seri laman rumah jika dijaga dengan baik.
 
Pokok buluh madu yang cukup matang juga mendapat permintaan dalam industri kraf tangan dan perabot, bahan pembakar, pengepit makanan serta pencungkil gigi.

Rebung buluh mendapat permintaan tinggi

No comments:

Post a Comment