Monday, 26 February 2024

ILMU PANGGIL ANGIN

 
Dalam tradisi Melayu ada macam-macam ilmu kebatinan atau kemahiran tertentu. Kemahiran itu ada yang dipelajari dan ada juga yang diwarisi daripada orang lain, terutama ibu atau bapa.

Kalau musim kemarau berterusan dan hujan tidak turun, maka ada ilmu untuk panggil hujan. Hujan akan turun apabila ia dipanggil atau diseru oleh orang tertentu.

Jika untuk mengelak hujan agar acara tertentu tidak terganggu, maka ada pula yang akan tolak hujan. Adapun tolak hujan ini bukan pada musim hujan yang memang berlaku berterusan atau turun dengan lebat. Tolak hujan sekadar satu usaha untuk mengelak berlaku hujan pada luar musim hujan.

Satu lagi ilmu ialah panggil angin. Panggil angin perlu dilakukan untuk melakukan atau melancarkan kerja-kerja menganginkan padi. Mengangin padi adalah untuk mengasingkan padi dengan benda asing lain seperti daun padi, batang padi dan rumput.

Mengayak padi juga adalah peroses untuk mengasingkan padi elok dengan padi hampa atau padi rosak yang tidak mempunyai isi.

Kerja-kerja mengangin ini memerlukan tiupan angin yang lebih kuat atau laju berbanding biasa. Ia dilakukan sebaik padi dituai atau setelah dijemur. Pada musim menuai, biasanya kadar kekuatan tiupan angin memang lebih laju berbanding pada musim-musim lain.

Keadaan angin kering memudahkan proses atau kerja-kerja mengangin atau mengayak. Jadi peluang itu digunakan sepenuhnya oleh pesawah untuk melakukan kerja-kerja mengayak.

Pun begitu, ada hari-hari atau waktu tertentu tidak ada angin bertiup. Tanpa angin bertiup laju kerja-kerja mengayak sukar dilakukan. Kalau dilakukan juga, prosesnya lambat selesai. Lebih banyak tenaga dan masa diperlukan.

Maka, untuk memastikan atau menjadikan angin bertiup laju seperti diharapkan, maka ada ilmu panggil angin. Angin bertiup laju di tempat yang dipanggil angin itu.

Memandangkan kerja mengayak itu dilakukan hampir ke semua pesawah, maka mereka akan berkumpul dan melakukan kerja-kerja mengayak di tempat ada orang panggil angin. Suasana di tempat tersebut meriah dengan kerja-kerja mengayak. Keadaan itu menyebabkan semangat pesawah semakin tinggi dan meneruskan kerja-kerja mengangin sehingga semuanya siap.


No comments:

Post a Comment