Wednesday, 10 January 2024

BUKIT MELAKA NAMA ASAL BUKIT ST PAUL

 
Nama Bukit St Paul memang terkenal menjadi tumpuan pelancong di Bandar Raya Melaka.  kini dikenali dengan nama asalnya Bukit Melaka.
 
Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), sudah pun memasang papan tanda pengenalan atau papan arah yang menamakan ia sebagai Bukit Melaka (Bukit St Paul) bagi mengelak kekeliruan yang timbul khususnya dalam kalangan pelancong yang datang bersiar-siar di sekitar kawasan itu.

Nama tempat yang sebelum ini dikenali Bukit St Paul memang nama asalnya ialah Bukit Melaka yang dinamakan sewaktu kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Namun apabila zaman penjajah, nama tersebut telah ditukar memandangkan ia terletak berdekatan gereja St Paul.
 
Pertukaran nama kepada Bukit Melaka bukan mengubah landskap kawasan tersebut. Semuanya masih dikekalkan, melainkan nama sahaja ditukar. Gereja St. Paul masih kekal di situ dan namanya tidak ditukar, juga tinggalan sejarah yang lain.
 
Pertukaran nama itu adalah berikutan Bukit Melaka adalah nama asal yang termaktub dalam sejarah Melayu Melaka, sebelum ketibaan penjajah.
 
Pertukaran nama itu juga sama sekali tidak menukar sejarah, bahkan nama gereja Bukit St Paul yang terdapat di bukit berkenaan turut dikekalkan.
 
Pertukaran nama itu satu penambahan nilai kepada Melaka. Kenapa mahu ikut nama yang diberikan penjajah? Kita kena berjiwa Malaysia, bukan berjiwa penjajah. Kita tidak tukar sejarah, tetapi tukar landskap yang akan menunjukkan identiti bangsa Melaka.
 
Sejarah sesuatu peradaban perlu dikaji sebelum melakukan sesuatu perubahan, dan kerajaan negeri tidak akan menyentuh elemen-elemen agama atau bangsa kerana ia adalah juga adalah satu warisan negara.
 
Bukit Melaka merupakan satu elemen yang penting dalam persejarahan Kesultanan Melayu Melaka. Catatan dari China dan Portugis merupakan sebahagian daripada himpunan bukti yang memperlihatkan kepentingan Bukit Melaka ini dalam sejarah Melaka.

Terdapat satu catatan China yang membuktikan Bukit Melaka sebagai tapak istana dan kawasan pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka.
 
Catatan tersebut telah menyatakan hadiah ‘batu sendi’ kepada Kesultanan Melayu Melaka oleh Kerajaan China telah ditempatkan di atas Bukit Melaka. Hal ini kerana, Kesultanan Melaka mengiktiraf Bukit Melaka sebagai ‘tiang seri negara’ bagi Melaka kerana di situlah terletaknya istana Sultan yang menjadi paksi kedaulatan dan kemakmuran kerajaan.
 
Terdapat juga catatan oleh penulis Portugis yang memperlihatkan kedudukan penting Bukit Melaka sebagai lokasi pentadbiran Kesultanan Melaka. Ini dapat dilihat menerusi rekod lukisan pada tahun 1508, iaitu semasa kedatangan Lopez De Sequiera ke Melaka yang menunjukkan lokasi istana Melaka yang berada di Bukit Melaka.
 
Pelan bandar Melaka pada tahun 1500, iaitu semasa pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, yang dilakar dalam kajian McRoberts (1991) juga telah membuktikan nama asal Bukit St.Paul ini merupakan Bukit Melaka.
 
Bukit Melaka merupakan antara tempat utama yang menjadi sasaran serangan Portugis ke atas Melaka pada tahun 1511. Ini adalah kerana ia menempatkan Istana Melaka dan berdekatan dengan Masjid Jamik Melaka. Walau bagaimanapun, barisan tentera Kesultanan Melaka teguh mempertahankan ‘tiang seri’ kerajaan mereka.
 
Selepas penaklukan pusat pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka pada Ogos 1511, Portugis telah melakukan kemusnahan terhadap segala bukti kewujudan peradaban Melayu-Islam di Melaka.
 
Menurut satu kertas kerja mengenai Kota Melaka, Istana, Masjid Jamik, makam dan rumah-rumah pembesar telah dimusnahkan dan digunakan untuk membangunkan kota pemerintahan Portugis di Melaka yang dikenali sebagai A’Famosa.
 
Alfonso De Albuquerque selaku panglima perang Portugis telah mengarahkan pembinaan Kota A’Famosa sehingga siap pada tahun 1512 dengan mengelilingi Bukit Melaka dengan tujuan mempertahankan Kota Melaka daripada serangan Sultan Mahmud Syah dan kerajaan Melayu lain seperti Acheh.
 
Kota A’Famosa tersebut dikatakan dibina sebahagiannya di atas tapak Masjid Melaka yang diruntuhkan Portugis. Selain itu, batu-batu nisan makam Sultan-sultan Melaka terdahulu turut digunakan oleh Portugis sebagai bahan binaan A’Famosa.
 
Pembinaan gereja sekitar tahun 1560-an oleh Duarte Coelho semasa penjajahan Portugis, di puncak Bukit Melaka telah memberi kesan kepada sejarah asal tempat tersebut. Selepas kejatuhan Melaka ke bawah pemerintahan Belanda pada tahun 1641, mereka menukarkan nama gereja tersebut kepada Gereja St. Paulus.
 
Kesannya, Bukit Melaka yang menempatkan Gereja St. Paulus ini bertukar nama kepada Bukit St. Paul. Fakta yang terkandung dalam pengajaran sejarah negara turut mengguna pakai nama Bukit St. Paul berbanding nama asalnya, iaitu Bukit Melaka.
 
Kita seharusnya mempunyai kesedaran bahawa tanah air ini perlu dibebaskan sepenuhnya dari sebarang bentuk penjajahan, bukan sahaja dalam bentuk fizikal, tetapi juga dalam naratif persejarahan negara.
 
Polemik mengenai Bukit Melaka ini tidak jauh berbeza seperti mana kedudukan Kota A’Famosa yang ditinggalkan penjajah Portugis atau bangunan Stadthyus yang merupakan warisan Belanda dalam naratif sejarah negara. Sedangkan pada hakikatnya, di tapak warisan penjajah ini telah berdirinya pusat pemerintahan sebuah empayar maritim Melayu bertaraf antarabangsa yang masyhur dan disegani seluruh dunia.
 
Kita tidak boleh mengubah sejarah, tetapi boleh mengubah apa yang ditinggalkan oleh sejarah.

No comments:

Post a Comment