Tuesday 2 February 2021

CARA BUAT DEKLARASI HARTA SEPENCARIAN

 
Harta sepencarian adalah pengertian yang mudah adalah harta bersama. Ia dimiliki oleh pasangan suami-isteri semasa tempoh perkahwinan mereka walaupun harta itu atas nama isteri atau nama suami atau nama kedua-duanya. 
 
Harta sepencarian selalunya merujuk kepada rumah kediaman dan sebarang harta yang bernilai tinggi. 
 
Suami atau isteri mempunyai hak ke atas harta yang dimiliki semasa tempoh perkahwinan kerana masing-masing ada sumbangan kewangan atau bukan kewangan ke atas harta bersama atau harta sepencarian itu. 
 
Sebagai contoh sebuah banglo walaupun ia di atas nama suami tetapi isteri ada hak. Isteri mungkin memberi wang pendahuluan membeli rumah, membuat ubahsuai rumah, membaiki kerosakan rumah. 
 
Sekiranya isteri tidak bekerja dan semua perbelanjaan rumah ditanggung oleh suami, isteri tetap ada hak ke atas harta bersama itu. 
 
Hak isteri ke atas harta adalah berasas kepada sumbangan bukan kewangan. Ini termasuk sumbangan melayani suami iaitu makan-minum, mencuci pakaian, mengembirakan suami selepas penat bekerja, mengemas dan menjaga rumah semasa suami bekerja dan membesar dan mendidik anak di rumah. 
 
Pemilikan harta sepencarian oleh isteri boleh diberi semasa pasangan suami-isteri sedang bahagia atau melalui proses mahkamah. 
 
Semasa pasangan sedang bahagia, suami boleh memberi sebahagian daipada harta itu kepada isterinya melalui Deklarasi Harta Sepencarian. 
 
Cara mudah memperoleh harta sepencarian ialah pasangan membuat Deklarasi atau Perjanjian Harta Sepencarian semasa pasangan masih bahagia. Pasangan dengan sukarela menyerahkan secara sukarela sebahagian harta kepada pasangan masing-masing. 
 
Sebagai contoh, suami bersetuju menyerahkan hakmilik rumah itu sebanyak 50% kepada isterinya melalui Deklarasi Harta Sepencarian. 
 
Sekiranya Deklarasi Harta Sepencarian tidak dibuat, maka pasangan ada pilihan membuat tuntutan harta sepencarian melalui proses mahkamah. 
 
Bagaimanapun, si penuntut (biasanya isteri) membuktikan wujudnya harta itu dan jumlah jumlah sumbangan (peratus) ke atas harta itu. Ini bagi membolehkan Mahkamah Syariah memutuskan hak harta sepencarian isteri tadi. 
 
Proses tuntutan melalui mahkamah bukannya cara mudah. Ia melibatkan kos melantik peguam dan bukti harta dan sumbangan isteri yang menuntut itu.

No comments:

Post a Comment