Friday, 10 May 2024

SERANGAN PEMIKIRAN ORIENTALIS

 
Orientalis menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pakar dalam bahasa, kebudayaan dan lain-lain bangsa Timur. Namun, orientalis secara terminologi biasanya merujuk kepada golongan bukan Islam yang mengkaji mengenai agama dan umat Islam secara khusus, sama ada bagi tujuan ilmu semata-mata atau lazimnya dengan agenda tertentu.
 
Sejak kebangkitan ilmu di Barat, golongan orientalis cukup gigih membuat kajian tentang khazanah ilmu Islam. Tugas mereka bertambah mudah dengan kerjasama daripada penjajah Barat yang menjajah negara Islam dan membawa pulang sejumlah besar manuskrip ilmuwan Islam ke tanah air mereka.
 
Menurut Abdullah Muhammad an-Na'imi dalam bukunya al-Istisyraq fi as-Sirah an-Nabawiyyah (1997), jumlah keseluruhan buku dan kajian yang dihasilkan oleh orientalis Barat berkaitan Islam dan kesusasteraan Arab sejak 1811 sehingga 1950 sahaja iaitu sekitar 140 tahun adalah berjumlah kira-kira 60,000 judul.
 
Jumlah yang amat besar ini meliputi pelbagai bidang ilmu pengajian Islam seperti akidah, tafsir, hadis, fiqah, usul, tasawuf, kalam, sirah nabawiyah, bahasa Arab, sejarah Islam, perbandingan mazhab dan sebagainya. Hingga muncul dalam kalangan mereka ahli yang dianggap pakar rujuk bagi setiap bidang ilmu berkenaan. Misalnya dalam bidang sirah nabawiyyah terkenal dengan W Montgomery Watt, Carl Brockelmann dan Julius Wellhausen.
 
Mereka giat mencetak dan menerbitkan manuskrip ulama Islam yang dibawa pulang ke negara mereka. Contohnya, kitab Sahih al-Bukhari pertama kali dicetak di Leiden, Holland antara 1862 hingga 1868 yang diselenggarakan oleh M Ludolf Krehl dan Theodor Juynboll. Kitab Tabaqat Ibn Sa'd yang diselenggarakan oleh Edward Sachau juga dicetak di Leiden antara 1904 hingga 1908 dalam lapan jilid. Kitab Sirah Ibn Hisyam yang diselenggarakan oleh Ferdinand Wüstenfeld pula dicetak di Göttingen, Jerman antara 1858 hingga 1860.
 
Di antara kalangan orientalis ada yang ikhlas mengkaji mengenai Islam atas dasar ilmu dan untuk kebaikan sejagat. Namun, tidak kurang juga yang membuat kajian untuk mencari kekuatan dan kelemahan umat Islam untuk dijadikan sebagai satu senjata memburuk-burukkan Islam.
 
Ada antara kajian orientalis dari dahulu sehingga kini menumpukan tentangan terhadap Islam daripada kembali berkuasa semula.
 
Islam di atas nama al-Din pernah menguasai dunia dan menjadi kuasa besar dunia. Islam membina kekuatan sendiri dan menjadi kuasa besar tunggal. Ini yang menggerunkan para musuh Islam.
 
Atas dasar inilah, William Ewart Gladston, Snouck Hurgronje dan lain-lain mengeluarkan kenyataan bahawa Islam mesti dihalang daripada menang semula dan kembali memerintah.
 
Golongan orientalis memberi tumpuan bagaimana boleh menghalang Islam daripada bangkit kembali. Mereka akan mengkaji kekuatan dan kelemahan umat Islam. Maka dicipta berbagai-bagai persepsi buruk mengenai umat Islam dan memperkenalkan budaya atau cara hidup yang boleh melemahkan umat Islam.
 
Serangan pemikiran melalui hiburan, pergaulan bebas,sikap ekstrem, pertelingkahan sesama sendiri, ketaasuban, ekonomi dan politik dijadikan medium menjauhkan umat Islam daripada ajaran sebenar yang memacu kepada kejayan.
 
Akibat serangan tersebut umat Islam menjadi semakin jauh daripada panduan al-Quran dan sunah. Sebahagian umat Islam terpengaruh dengan serangan pemikiran dicipta orientalis itu dan menyebabkan umat Islam hilang jati diri dan kekuatan yang sepatutnya dimiliki.

No comments:

Post a Comment