Sunday 2 October 2022

PUNCA KEJADIAN CUBAAN MEMBUNUH DIRI

 
Mengapa kes cubaan membunuh diri meningkat sejak kebelakangan ini? Masalah ini telah seolah-olah seperti tiada jalan penyelesaiannya yang tersendiri. Individu yang terfikir untuk membunuh diri dikategori mempunyai ciri-ciri menghadapi masalah mental. 
 
Masalah mental pula sering merujuk kepada gangguan perasaan yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan, ketiadaan tenaga, cepat marah dan hilang minat dalam aktiviti harian. Selain itu rasa tertekan, murung dan trauma kerana kecaman negatif, masalah kewangan, masalah keluarga menjadi mangsa buli, dan kecewa membuatkan semua rasa ini akan menjerumus kepada pemikiran untuk membunuh diri. 
 
Setiap insan pastinya akan menghadapi ujian dan cabaran yang berbeza-beza serta bagaimana untuk menjalani kehidupan di samping cuba mengekalkan kesihatan mental yang seimbang menjadi salah satu cabaran yang kuat. 
 
Ketahui tahap kesihatan mental mampu memberi jalan keluar dan juga penyelesaian dalam bagaimana untuk menangani masalah yang di hadapi. 
 
Penyakit kesihatan mental adalah penyakit yang menyebabkan gangguan pemikiran atau tingkah laku sehingga menyebabkan ketidakupayaan untuk menjalankan aktiviti harian. Sebenarnya, terdapat lebih daripada 200 jenis sakit jiwa dan antara masalah kesihatan mental yang sering berlaku adalah kemurungan, gangguan bipolar, demensia, skizofrenia dan gangguan kerisauan yang melampau. 
 
Masalah kesihatan mental mungkin berpunca daripada rasa tekanan yang berlebihan di sebabkan oleh keadaan atau peristiwa tertentu seperti menghidapi kanser, kencing manis dan penyakit jantung. 
 
Manakala penyakit mental pula berlaku disebabkan oleh tekanan dari persekitaran, faktor genatik, ketidakseimbangan biokimia dalam badan atau kombinasi semua faktor. 
 
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, kemurungan adalah salah satu penyebab tercetusnya idea untuk membunuh diri. Kemurungan yang dialami oleh individu bermula daripada gangguan perasaan, lalu pesakit kemurungan akan merasai pelbagai jenis fikiran yang negatif seperti merasakan diri tidak berguna, mudah marah, tertekan, mudah berasa cemas atau rasa kekosongan di dalam jiwa. Dan perasaan yang terkumpul inilah yang membuatkan seseorang individu mudah untuk terfikir bunuh diri. 
 
Perlu diketahui bahawa kemurungan dan tekanan bukanlah masalah yang sama. Individu yang mengalami kemurungan ini lebih sukar untuk dikenal pasti kerana dari segi luaran, dirinya kelihatan tiada apa-apa masalah, gembira, ceria dan sihat tetapi sebaliknya di dalam dirinya cukup parah. 
 
Bukan itu sahaja, kemurungan juga mempunyai pelbagai jenis tetapi yang paling bahaya adalah persistent depressive disorder di mana masalah kemurungan ini tidak dapat dilihat secara luaran. 
 
Bipola juga sejenis penyakit mental yang melibatkan gangguan emosi yang ketara. Bipola berlaku disebabkan kecelaruan emosi pada dua sisi yang berbeza di mana episod kemurungan dan episod gembira yang melampau dialami oleh seseorang individu. 
 
Perasaan gembira yang melampau ini dikenali sebagai fasa ‘mania’ dan jika gejala ‘mania’ tersebut tidak begitu ketara, ia dikenali sebagai ‘hypomania’. 
 
Jangka masa kecelaruan emosi ini berbeza mengikut individu. Ada mengalami perubahan emosi yang berubah silih berganti dalam jangka masa cepat pada suatu masa dan ada juga mengalami fasa kemurungan atau fasa mania berpanjangan. 
 
Perubahan emosi tidak stabil serta ketara inilah yang menyebabkan kesukaran dalam menjalani kehidupan harian. 
 
Secara teorinya, kecelaruan emosi ini adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan bahan kimia (neurotransmitter) di dalam otak iaitu Serotonin dan Dopamin. 
 
Kedua-dua bahan kimia ini adalah lebih tinggi dari biasa pada fasa mania dan rendah pada fasa kemurungan. 
 
Serotonin memainkan peranan yang penting dalam emosi manakala Dopamin pula penting dalam pengawalan pergerakan, fokus dan motivasi. 
 
Bagaimanapun, berbanding penyakit kecelaruan psikosis seperti schizophrenia, penyakit yang melibatkan kecelaruan emosi seperti bipolar mempunyai tahap penyembuhan serta prognosis yang lebih baik. 
 
Untuk mengatasi masalah psikologi, kita perlu menjalani kehidupan dalam kesederhanaan dan reda dengan ketentuan Allah. Selalu bersikap tenang dan matang. Jauhi diri daripada persekitaran yang boleh menyebabkan perasaan marah, tertekan dan putus asa. 
 
Tidak perlu bandingkan pencapaian atau kemampuan orang lain, sebaliknya cukuplah kita berusaha menjadikan kita lebih baik berbanding sebelumnya. Jika tidak berjaya menjadi lebih baik, terimalah dengan hati yang lapang dan tenang. Esok masih ada, selagi kita tidak dijemput pulang ke negeri abadi.
 
Sumber gambar - media sosial, kes cubaan membunuh diri di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan pada 2 Okt 2022 

No comments:

Post a Comment