Australia mula menguatkuasakan larangan penggunaan media
sosial untuk individu bawah 16 tahun, yang disifatkan sebagai yang pertama
seumpamanya di dunia, dengan undang-undang itu berkuat kuasa sepenuhnya pada 10
Disember 2025.
Langkah itu menandakan perubahan besar dalam tadbir urus
digital global, sekali gus menetapkan penanda aras baharu mengenai bagaimana
kerajaan di seluruh dunia boleh bertindak bagi melindungi pengguna muda dalam
talian.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menyifatkan
langkah itu sebagai penting untuk memastikan "kanak-kanak mempunyai zaman
kanak-kanak mereka", dengan undang-undang persekutuan kini mewajibkan
platform media sosial mengambil langkah munasabah untuk menyekat akaun bawah
umur.
Undang-undang baharu itu, dikenali sebagai Akta Pindaan
Keselamatan Dalam Talian (Umur Minimum Media Sosial) 2024, diluluskan oleh
Parlimen Australia pada November 2024.
Platform yang tertakluk kepada larangan termasuk TikTok,
Facebook, Instagram, Snapchat, X (dahulunya Twitter), Reddit dan YouTube.
Di bawah undang-undang itu, tanggungjawab pematuhan terletak
sepenuhnya pada syarikat teknologi dan bukan ibu bapa atau pengguna muda.
Syarikat yang gagal menguatkuasakan had umur boleh dikenakan penalti
sistematik, termasuk denda sehingga AU$49.5 juta (US$32 juta).
Tiada penalti dikenakan terhadap kanak-kanak yang cuba
mengelak sekatan atau terhadap ibu bapa mereka.
Walaupun larangan itu meliputi suapan media sosial arus
perdana, beberapa pengecualian diperkenalkan bagi memastikan pengguna muda
kekal mendapat akses kepada perkhidmatan penting dalam talian.
Aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Messenger Kids, alat
pendidikan seperti Google Classroom dan YouTube Kids, serta platform permainan
dalam talian dan perkhidmatan sokongan kesihatan mental, masih boleh diakses.
Kerajaan Australia berkata, langkah itu bertujuan
mengurangkan kesan buruk media sosial terhadap kesihatan mental dan
perkembangan kanak-kanak dan remaja.
Langkah ini menarik perhatian global, dengan negara-negara
lain memantau pelaksanaannya serta kesan terhadap keselamatan digital.
Syarikat teknologi utama sudah memulakan usaha pematuhan.
Beberapa laporan media menyatakan Meta telah mula menyahaktifkan akaun pengguna
bawah 16 tahun di Instagram dan Facebook sejak awal minggu ini.
Platform berkenaan dijangka menggunakan teknologi penentuan
umur, termasuk kecerdasan buatan dan alat anggaran umur melalui wajah, untuk
mengesahkan pengguna dan menyekat mereka yang di bawah umur minimum.
Pengguna bawah 16 tahun yang cuba mengakses platform
berkenaan kini akan menerima notifikasi bahawa akaun mereka telah disekat atau
dinyahaktifkan.
No comments:
Post a Comment