Pelaksanaan Projek Quick Win yang kini giat diusahakan Pejabat
Ketua Jajahan Gua Musang (PKJGM) berpotensi menjadikan Gua Musang sebagai hab
baharu perusahaan songket di Kelantan.
Langkah tersebut diambil bagi memenuhi permintaan tinggi
terhadap kain songket yang kini hanya bergantung kepada pengusaha di Penambang,
Kota Bharu.
Perusahaan songket di Penambang tidak lagi mampu menampung
permintaan pelanggan kerana tidak banyak lagi pengusaha aktif di Kelantan. Justeru,
projek Quick Win diharapkan mampu melahirkan lebih banyak pembuat songket
baharu di Gua Musang.
PKJGM, pada 19 Jun 2025 telah bekerjasama dengan Pertubuhan
Kraf Malaysia untuk menganjurkan Seminar Songket bagi mengenal pasti sekurang-kurangnya
10 peserta yang berpotensi.
Mereka yang terpilih akan dihantar ke Penambang selama tiga
bulan bermula Ogos hingga Oktober untuk mempelajari pembuatan songket secara
intensif. Apabila mahir, mereka akan kembali ke Gua Musang untuk membuka bengkel
masing-masing serta melatih penduduk setempat.
Dalam usaha memperkukuh projek ini, PKJGM turut berbincang
dengan institusi perbankan yang bersetuju menyediakan bantuan dana permulaan
sekitar RM5,000 bagi pembelian peralatan asas, selain menawarkan pinjaman tanpa
riba sehingga RM20,000 untuk modal operasi.
Lokasi strategik Gua Musang yang terletak di pertengahan
laluan antara Kota Bharu dan Kuala Lumpur serta jarak tiga jam ke Terengganu
menjadikannya lokasi ideal untuk dijadikan pusat pengeluaran songket baharu di
Kelantan.
Gambar sekadar hiasan.
No comments:
Post a Comment