Monday, 8 November 2021

SEMAK HARGA SEBELUM PESAN MAKANAN

  
Sudah banyak kali di media maya tular mengenai pembeli tidak berpuas hari dengan harga dikenakan oleh peniaga restoran. Harga yang dianggap terlampau tinggi dan tidak munasabah. 
 
Perkara ini tidak akan berlaku jika benar-benar mengikut atau mengamalkan apa yang disuruh oleh Islam. Ia juga menjadi panduan sebagai pengguna bijak. 
 
Aktiviti perniagaan atau jual beli adalah perkara halal yang dibenarkan dalam islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud: “…Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba (bunga).” 
 
Rukun jual beli adalah perlu adanya penjual dan pembeli, akad jual beli, barangan atau perkhidmatan dan harga yang dinyatakan. 
 
Dalam jual beli melibatkan persetujuan bersama iaitu penjual bersetuju menjual sesuatu dengan harga tertentu dan pembeli pula bersetuju membeli dengan harga yang dinyatakan. 
 
Tentang harganya, tidak ditetapkan berapa yang perlu diletak, melainkan harga yang telah dikawal oleh kerajaan untuk tujuan mengelak manipulasi harga atau peniaga mengambil kesempatan menetapkan harga yang tinggi. 
 
Jadi, tidak timbul isu harga mahal atau tidak kerana lazimnya, matlamat jual beli tercapai jika kedua-dua pihak meredai (al-taradi) harga yang sudah dipersetujui lebih awal. 
 
Apa yang menjadi kesalahan dalam Islam jika tiada harga dinyatakan atau tidak dibincang atau dimaklumkan lebih awal. 
 
Masa memesan makanan, kita lebih fikirkan tentang apa yang hendak makan. Asal nampak sedap dan nafsu hendak makan, maka dibuat pesanan tanpa memikirkan atau menyemak senarai harga. 
 
Apabila hendak bayar baharu terasa bahawa harga itu mahal. Tidak berbaloi dan sebagainya. 
 
Untuk mengelak perkara tidak puas hati berlaku, dapatkan senarai harga dahulu. Itulah yang ditetapkan oleh Islam. 
 
Kalau kita pesan tanpa bertanya tentang harganya, itu sudah termasuk dalam senarai uruf atau kebiasaan yang boleh diterima sebagai ia telah menjadi sebahaigan daripada persetujuan pembeli menerima apa-apa harga yang diminta oleh penjual apabila selesai menjamu selera. 
 
Kebiasaannya mana-mana restoran makanan laut segar tidak kira pemiliknya Islam atau bukan Islam akan maklumkan dulu kepada pelanggan anggaran harga untuk berapa gram (gm) atau kilogram (kg) atau sama ada dinyatakan dalam buku menu atau dipaparkan di senari harga. 
 
Kalau itu berlaku, pihak peniaga tidak salah kerana pemakluman harga sudah berlaku lebih awal dan kita sebagai pelanggan reda untuk mengambil ikan bersama berat pilihan kita dan dalam hal ini jual beli berlaku secara al-taradi iaitu reda antara dua pihak. 
 
Ikut cara Islam bukan sahaja menentukan halal dan haram, tetapi juga untuk kebaikan dan mengelak perkara buruk. Jadi, ia juga sesuai diamalkan oleh bukan Islam. 
 
Gambar: Kari kepala ikan jenahak. Ambo tidak tahu harganya. Gambar dari FB Azran Fitri Rahim. Sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment