Monday, 22 November 2021

KOLAM AIR HANGAT PUSAT REKREASI LUBUK TIMAH

  
Pusat Rekreasi Lubuk Timah (PRELUT) merupakan sebuah tempat rekreasi yang menggandingkan dua suasana iaitu kolam air panas dan air terjun. 
 
Pusat Rekreasi Lubuk Timah ini sering menjadi lokasi tumpuan percutian penduduk tempatan dan pelancong sewaktu musim cuti persekolahan dan perayaan. 
 
Lubuk Timah terletak lebih kurang 15 kilometer dari bandar Ipoh. Sesiapa dalam perjalanan menuju ke Tanah Tinggi Cameron dari Ipoh, anda akan lalui simpang ke Lubuk Timah dahulu. 
 
Apabila terjumpa papan tanda menunjuk arah simpang masuk ke Pusat Rekreasi Lubuk Timah, masuk ikut arah tersebut dan seterusnya melalui jalan sejauh 1 kilometer sebelum sampai ke lokasi air panas. 
 
Sungai Lubuk Timah ini mula menjadi popular pada tahun 2000 tapi, sejak 2014 ia mula dibangunkan menjadi pusat rekreasi yang serba lengkap. Bermula dari itu ia dikenali Pusat Rekreasi Lubuk Timah. 
 
Kawasan ini sesuai untuk mengambil udara segar, berehat dan berkelah pada hujung minggu. Mata air panas boleh dikunjungi dengan menggunakan Jalan Simpang Pulai-Tanah Tinggi Cameron (Laluan 185) berhampiran Plaza Tol Simpang Pulai. 
 
Kolam air panas terbuka yang terletak betul-betul di tepi sungai adalah bersih dan diselenggara dengan baik. Terdapat 3 kolam yang mempunyai tahap haba yang berbeza. 
 
Anda perlu berhati-hati jika anda mahu meletakkan kaki anda di kolam yang paling panas kerana ia adalah sangat panas. Terdapat juga air terjun jika anda ingin menyejukkan badan anda selepas mandi panas. 
 
Pusat Rekreasi Lubuk Timah sememangnya punyai keunikan yang tersendiri kerana disana terdapat air terjun yang sejuk dan ada juga kolam air panas. Kolam air panas ini telah dibina semula dan diletakkan di pinggiran sungai yang mana air terjun asal mengalir disisinya. 
 
Air terjun turun dari tembok binaan seperti empangan dari kiri dan kanan tembok. 
 
Ianya berikutan dengan apabila tiba musim tengkujuh yang mana apabila air banyak, air kolam akan mengalir turun melalui tembok ini bagaikan Niagara Fall. 
 
Mengikut cerita tempatan, empangan ini telah dibina di Sungai Anak Ayer Cina pada awal abad ke 20 yang mana pembinaannya amat berkait rapat dengan kerja-kerja perlombongan bijih timah pada waktu tersebut. 
 
Empangan tersebut dianggar setinggi 30 meter dan kini ia dipenuhi dengan pasir dan terdapat anak sungai yang mengalir.

No comments:

Post a Comment