Saturday, 30 October 2021

LATA Y BATU MENGKEBANG

  
Jajahan (daerah) Kuala Krai kawasan berbukit. Jadi, di jajahan Kuala Krai terdapat banyak jeram atau lata. Nama seperti Lata Rek dan Lata Berangin sudah lama terkenal di Kuala Krai sejak berpuluh tahun dahulu. 
 
Sekarang ini terdapat tempat yang semakin dikenali sebagai lokasi menarik untuk dikunjungi. Nama Lata Istana Sangkut dan Lata Dinding kini tersenarai sebagai lokasi baharu. 
 
Satu lagi lokasi menarik yang baharu diteroka ialah Lata Y. Lokasinya sungguh cantik. Airnya membiru, seperti kolam renang. Air terjun yang bercabang dua dan turun menjadi satu seakan huruf Y. Sebab itu ia dikenali dengan nama Lata Y. 
 
Lata Y berada di Batu Mengkebang, Kuala Krai, Kelantan. Ianya hampir dengan sempadan negeri Terengganu. Dari Batu Mengkebang, perlu lalu jalan balak sejauh 19 kilometer untuk bertemu dengan Lata Y. Jalan balaknya masih aktif dengan lori-lori balak yang keluar masuk. 
 
Kalau cari dalam google maps, ada tempat yang bertanda Lata Y. Kalau yang tak pernah sampai lagi, perlu muat turun peta kawasan tersebut untuk digunakan ketika tiada capaian internet. 
 
Memandangkan satu-satunya jalan ke Lata Y ada jalan balak, maka ia hanya boleh dilalui menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Ada juga yang mengayuh basikal bukit untuk ke sana. 
 
Kalau yang bercadang ke sana, pilihlah masa bukan musim hujan. Ada dua sebab perlu mengelak pergi ke sana pada musim hujan. Pertamanya untuk mengelak berdepan masalah jalan becak dan licin. Lainlah jika memang ingin memilih keadaan tersebut kepada mereka yang meminati pemanduan lasak dan mencabar. 
 
Keduanya, untuk mengelak berdepan keadaan air yang keruh. Kalau hujan, mesti air keruh disebabkan air lumpur yang turun kerana pembalakan. 
 
Ketika hari biasa tanpa hujan, air yang kehijauan seolah menarik-narik pengunjung untuk terjun ke dasarnya. Suasana sungguh segar dan berbaloi menempuh liku-liku perjalanan sebelum sampai ke sana. 
 
Puas. Bunyi air terjun yang menderu, angin dingin yang menyapa pipi, sungai yang tak putus-putus mengalir, semua terasa seperti meresap ke dalam diri. 
 
Semoga keindahan dan kedamaian di Lata Y terus kekal sebagai satu warisan untuk generasi seterusnya.

No comments:

Post a Comment