Thursday, 30 January 2020

AKIBAT BURUK CARI ILMU UNTUK BERMEGAH


Pengisian ilmu yang bertujuan mencari kemegahan telah menjadikan manusia sekarang mempunyai sifat-sifat keduniaannya yang sangat menonjol. Manusia sekarang penuh dengan sifat sombong dan bangga diri, kedekut dan tamak kepada harta dunia, suka angan-angan, penuh dengan hasad dengki, suka kepada pujian dan kemegahan dunia, khianat kepada amanah, selalu meninggalkan apa yang disuruh Allah, melupakan Allah, memandang rendah sesama manusia dan tidak ambil peduli sebarang permasalahan yang menimpa saudara-saudara yang seagamanya dengannya

Perkembangan ilmu yang sebegini sebenarnya sangat berlawanan dengan ilmu yang ingin dibangunkan oleh Islam. Bagi Islam, ilmu adalah sesuatu yang wajib dituntut oleh setiap individu Muslim, dan ilmu juga adalah asas pembangunan insan dan juga asas kepada pembangunan tamadunnya.

Menerusi ilmu juga dapat melahirnya manusia yang sentiasa ingat kepada Tuhannya, ingat kepada kebesarannya serta menjadikan manusia yang bertakwa dengan sentiasa cermat dan berhati-hati dalam mengharungi kehidupan di dunia. Islam memberikan kedudukan yang sangat istimewa dan kemuliaan yang tinggi kepada ilmu.

Justeru itu, wajar bagi kita kini untuk kembali menilai ke arah mana hala tuju perkembangan ilmu yang berlaku dalam negara kita sekarang.

Kita akan merasa lebih senang dan selamat sekurang-kurangnya untuk generasi akan datang sekiranya ilmu yang dibangunkan itu lebih bersifat membangunkan kemanusiaan dan keinsanan berbanding sekiranya ia lebih meruntuh dan membahayakan manusia dan dunia.

Kita juga tidak mahu ilmu dan pendidikan kita diasaskan kepada landasan pemikiran asing yang tidak mengikut penekanan yang ditentukan oleh Islam. Juga kita tidak mahu pendidikan dan ilmu yang kita pelajari adalah ilmu yang dipaksakan oleh perkembangan semasa kerana dikhuatiri tujuannya lebih bersifat keduniaan dan akan terus melahirkan manusia yang lupakan Tuhan.

Oleh demikian, manusia itu perlu dipimpin dan diberitahu bahawa pembangunan berteraskan Islam dan ilmu yang betul adalah lebih utama daripada pembangunan yang hanya dapat memuaskan nafsu.

Kerana ia bukan sahaja memerlukan penggabungan bersepadu antara manusia, benda dan alam, malah lebih penting daripada itu ialah penggabungan antara unsur dalaman dan unsur luaran manusia serta dipimpin oleh ilmu yang benar dan sah. Iaitu ilmu yang dapat memimpin kalbu, akal dan nafsu serta anggota lahiriah dan pancaindera yang lain ke arah mengenali dan menjadi hamba kepada Tuhan yang menciptanya.

Hubungan murni antara unsur-unsur ini yang bertunjangkan pengabdian sepenuhnya kepada Allah sahajalah yang dapat melahirkan amal dan perilaku manusia yang selamat dan aman pembangunannya.

No comments:

Post a Comment