Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
merupakan Pemerintah Tertinggi bagi Angkatan Bersenjata Persekutuan.
Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan: Perintah
tertinggi angkatan tentera. Yang di-Pertuan Agong ialah Pemerintah
Tertinggi angkatan tentera Persekutuan."
Yang di-Pertuan Agong juga merupakan sumber
pengampunan dan mempunyai kuasa untuk mengurniakan pengampunan dan menangguhkan
hukuman bagi kesalahan-kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera dan
juga bagi semua kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
dan Labuan.
Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan:
Kuasa bagi mengampun, dsb.
(1) Yang di-Pertuan Agong adalah berkuasa
mengampun dan menangguhkan hukuman-hukuman mengenai segala kesalahan yang telah
dibicarakan oleh Mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan dalam
Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau
Gabenor sesuatu Negeri adalah berkuasa mengampun dan menangguhkan
hukuman-hukuman mengenai segala kesalahan lain yang dilakukan di
Negerinya."
(2) Tertakluk kepada Fasal (10), dan tanpa
menyentuh mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan berhubung dengan remitan
hukuman kerana berkelakuan baik atau khidmat khas, apa-apa kuasa yang diberi
oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri bagi meremit,
menggantung atau mengurangkan hukuman bagi sesuatu kesalahan boleh dijalankan
oleh Yang di-Pertuan Agong jika hukuman itu telah dijatuhkan oleh mahkamah
tentera atau oleh sesuatu mahkamah sivil yang menjalankan bidang kuasa dalam
Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan, dalam
apa-apa hal lain, kuasa itu boleh dijalankan oleh Raja atau Gabenor bagi Negeri
di mana kesalahan itu telah dilakukan.
(3) Jika sesuatu kesalahan telah dilakukan
kesemuanya atau sebahagiannya di luar Persekutuan atau di beberapa buah Negeri
atau dalam hal keadaan yang boleh menimbulkan waham di mana kesalahan itu telah
dilakukan, maka bagi maksud-maksud Perkara ini kesalahan itu hendaklah
disifatkan sebagai telah dilakukan di Negeri di mana kesalahan itu telah
dibicarakan. Bagi maksud Fasal ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah
Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, hendaklah masing-masing
dianggap sebagai suatu Negeri.
(4) Kuasa-kuasa yang tersebut dalam Perkara
ini:
(a) iaitu, setakat mana kuasa-kuasa itu boleh
dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong, ialah antara tugas-tugas yang peruntukan
mengenainya boleh dibuat oleh undang-undang persekutuan di bawah Perkara 40(3);
(b) iaitu, setakat mana kuasa-kuasa itu boleh
dijalankan oleh Raja atau Gabenor sesuatu Negeri, hendaklah dijalankan mengikut
nasihat Jemaah Pengampunan yang ditubuhkan bagi Negeri itu mengikut Fasal (5).
(5) Jemaah Pengampunan yang ditubuhkan bagi
setiap Negeri hendaklah mengandungi Peguam Negara Persekutuan, Ketua Menteri
Negeri itu dan tidak lebih daipada tiga orang ahli lain yang dilantik oleh Raja
atau Gabenor; tetapi Peguam Negara boleh dari semasa ke semasa dengan suratcara
mewakilkan tugas-tugasnya sebagai seorang ahli Jemaah itu kepada seseorang
lain, dan Raja atau Gabenor boleh melantik seseorang untuk menjalankan bagi
sementara tugas-tugas seseorang ahli Jemaah yang dilantik olehnya yang tidak
hadir atau tidak berupaya menjalankan tugasnya.
(6) Ahli-ahli Jemaah Pengampunan yang
dilantik oleh Raja atau Gabenor hendaklah dilantik bagi tempoh selama tiga
tahun dan boleh dilantik semula, tetapi pada bila-bila masa boleh meletakkan
jawatan sebagai ahli jemaah.
(7) Seseorang ahli Dewan Negeri atau ahli
Dewan Rakyat tidak boleh dilantik oleh Raja atau Gabenor untuk menjadi ahli
Jemaah Pengampunan atau untuk menjalankan bagi sementara tugas-tugas seseorang
ahli Jemaah.
(8) Jemaah Pengampunan hendaklah bermesyuarat
di hadapan Raja atau Gabenor dan Raja atau Gabenor itu hendaklah mengetuai
mesyuarat itu.
(9) Sebelum Jemaah Pengampunan memberi
nasihatnya mengenai apa-apa perkara ia hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat
bertulis yang mungkin telah dikemukakan oleh Peguam Negara mengenai perkara
itu.
(10) Walau apa pun yang tersebut dalam
Perkara ini, kuasa bagi mengampun dan menangguhkan hukuman-hukuman atau
meremit, menggantung atau mengurangkan hukuman-hukuman yang dijatuhkan oleh
mana-mana Mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang yang
mengawal hal ehwal ugama Islam di Negeri atau Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong
sebagai Ketua ugama Islam dalam Negeri itu.
(11) Bagi maksud Perkara ini, maka hendaklah
ditubuhkan hanya satu Jemaah Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan peruntukkan-peruntukkan Fasal (5), (6), (7),
(8) dan (9) hendaklah dipakai mutates mutandis bagi Jemaah Pengampunan di bawah
Fasal ini kecuali bahawa sebutan mengenai “Raja atau Yang di-Pertua Negeri”
hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Yang di-Pertuan Agong dan
sebutan mengenai “Ketua Menteri negeri itu” hendaklah ditafsirkan sebagai
sebutan mengenai Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
(12) Walau apa pun apa-apa jua yang
terkandung dalam Perlembagaan ini, jika kuasa-kuasa yang tersebut dalam Perkara
ini:
(a) kena dijalankan oleh Yang di-Pertua
Negeri sesuatu Negeri dan dikehendaki dijalankan berkenaan dengan dirinya atau
isterinya, anak lelakinya atau anak perempuannya, kuasa-kuasa itu hendaklah
dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Lembaga
Pengampunan yang ditubuhkan bagi Negeri itu di bawah Perkara ini dan yang
hendaklah dipengerusikan olehnya;
(b) dikehendaki dijalankan berkenaan dengan
Yang di-Pertuan Agong, Raja sesuatu Negeri, atau Konsortnya, mengikut mana-mana
yang berkenaan, kuasa-kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Majlis Raja-Raja dan
peruntukan-peruntukan yang berikut hendaklah terpakai:
(i) apabila menghadiri mana-mana prosiding di
bawah Fasal ini, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh disertai oleh Perdana
Menteri dan Raja-Raja lain tidak boleh disertai oleh Menteri-Menteri Besar
mereka;
(ii) sebelum membuat keputusannya tentang
apa-apa perkara di bawah Fasal ini, Majlis Raja-Raja hendaklah menimbangkan
apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah diberikan oleh Peguam Negara
tentang perkara itu;
(c) dikehendaki dijalankan oleh Yang
di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri berkenaan dengan anak lelakinya atau
anak perempuannya mengikut mana-mana yang berkenaan, kuasa-kuasa itu hendaklah
dijalankan oleh Raja sesuatu Negeri yang dinamakan oleh Majlis Raja-Raja dan
Raja itu hendaklah bertindak mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang relevan yang
ditubuhkan di bawah Perkara ini.
(13) Bagi maksud perenggan (b) dan (c) Fasal
(12), Yang di-Pertuan Agong atau Raja Negeri yang berkenaan, mengikut mana-mana
yang berkenaan, dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menjadi
anggota Majlis Raja-Raja.
Hak Keistimewaan orang-orang Melayu dan
Bumiputera Di Sabah dan Sarawak
Salah satu tanggungjawab yang penting oleh
Yang di-Pertuan Agong ialah menjaga hak istimewa orang-orang Melayu dan
Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Hal ini dijelaskan dalam Fasal 153 (1) dalam
Perlembagaan Persekutuan seperti berikut:
"153. Perezapan quota mengenai
perkhidmatan, permit dsb., untuk orang Melayu.
(1) Adalah menjadi tanggungjawab Yang
di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana
Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain
mengikut peruntukkan Perkara ini."
Sumber Penghormatan dan Kebesaran
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
merupakan sumber penghormatan dan kebesaran. Baginda mengurniakan anugerah dan
penghormatan kepada warganegara dan bukan warganegara serta mengurniakan darjah
kebesaran kepada ketua-ketua negara asing dalam istiadat pengurniaan
bintang-bintang bersempena dengan Hari Keputeraan Baginda.
Fungsi diplomatik
Sebagai Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong
melantik diplomat-diplomat Malaysia di luar negara dan juga menerima mengadap
diplomat-diplomat asing yang ditugaskan di Malaysia sebelum diplomat-diplomat
asing itu mula menjalankan tugas mereka.
Selain daripada tugas-tugas dan tanggungjawab
yang dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong, baginda juga bercemar duli
menghadiri pelbagai majlis dan acara.
No comments:
Post a Comment