Friday, 8 May 2026

KELANTAN BERDEPAN MASALAH ISU DUFF DEVELOPMENT

 
Pada tahun 1900, satu perjanjian besar ditandatangani antara Kerajaan Kelantan dan Robert Duff, pemilik Duff Development Company. Perjanjian itu kemudian diperbaharui pada tahun 1905.

Melalui perjanjian ini, Duff Development Company diberikan hak yang sangat luas di Hulu Kelantan (Kuala Krai dan Gua Musang), termasuk hak perlombongan, pembalakan, pembinaan jalan, pengangkutan, eksploitasi sumber alam, serta kawalan terhadap kawasan yang sangat besar.

Sebahagian besar kawasan Ulu Kelantan ketika itu masih belum diteroka secara moden, tetapi kaya dengan emas, hasil hutan dan potensi pertanian. Kajian sejarah menunjukkan keluasan konsesi Duff mencecah ribuan batu persegi dan melibatkan kawasan mineral yang sangat strategik.

Konsesi Duff dianggap luar biasa kerana terlalu besar, terlalu lama, memberi kuasa ekonomi besar kepada syarikat asing dan dilihat menjejaskan kedaulatan negeri.

Isu Duff menjadi beban politik dan kewangan kepada negeri.

British sendiri mula melihat konsesi Duff sebagai masalah kerana kawasan konsesi yang terlalu luas telah menghalang pembangunan lain, menyukarkan pembinaan landasan kereta api, dan mengganggu penyusunan pentadbiran moden Kelantan.

Malah berlaku pertikaian undang-undang yang panjang antara Kerajaan Kelantan dan Duff Development Company sehingga dibawa ke mahkamah di Britain.

Antara kes mahkamah yang terkenal adalah saman sivil Duff Development Co Ltd -lwn- Government of Kelantan (1912) menjadi antara kes penting dalam undang-undang antarabangsa berkaitan imuniti sesebuah kerajaan Melayu terhadap tindakan mahkamah British.

Dalam kes itu, Kerajaan Kelantan berhujah bahawa Sultan Kelantan ialah pemerintah berdaulat dan tidak tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah British secara biasa.

Akhirnya, selepas pelbagai rundingan dan tekanan British, konsesi Duff disusun semula dan sebahagian pengaruhnya mula dikurangkan menjelang 1930-an.

Bagi menyelamatkan tanah-tanah dibawah konsesi Duff, kerajaan Kelantan telah mengkanunkan Enakmen Rizab Melayu Kelantan (1930) dan menjamin pemilikan tanah dikalangan rakyat Kelantan dengan Enakmen Tanah Kelantan (1938).

No comments:

Post a Comment