Friday, 8 May 2026

KONSESI BESAR TANAH DI HULU KELANTAN

 
Antara isu paling besar dalam sejarah ekonomi Kelantan awal abad ke-20 ialah kewujudan Duff Development Company, juga dikenali sebagai “Duff Syndicate”.

Syarikat ini diasaskan oleh: Robert William Duff. Duff ialah bekas pegawai British di Negeri Melayu Bersekutu dan pernah berkhidmat dalam pasukan polis kolonial di Pahang. Beliau mempunyai hubungan rapat dengan pentadbir British dan memahami kelemahan politik negeri- negeri Melayu ketika itu.

Pada tahun 1900, satu perjanjian besar ditandatangani antara Kerajaan Kelantan dan Robert Duff. Perjanjian itu kemudian diperbaharui pada tahun 1905.

Melalui konsesi ini, Duff Development Company diberikan hak yang sangat luas di Hulu Kelantan (Kuala Krai dan Gua Musang), termasuk hak perlombongan, pembalakan, pembinaan jalan, pengangkutan, eksploitasi sumber alam, serta kawalan terhadap kawasan yang sangat besar.

Sebahagian besar kawasan Ulu Kelantan ketika itu masih belum diteroka secara moden, tetapi kaya dengan emas, hasil hutan dan potensi pertanian. Kajian sejarah menunjukkan keluasan konsesi Duff mencecah ribuan batu persegi dan melibatkan kawasan mineral yang sangat strategik.

Konsesi Duff dianggap luar biasa kerana terlalu besar, terlalu lama, memberi kuasa ekonomi besar kepada syarikat asing dan dilihat menjejaskan kedaulatan negeri.

Sejarawan melihatnya sebagai contoh awal “penjajahan ekonomi” British di Kelantan. Dalam praktiknya, Duff Development Company bukanlah sekadar syarikat biasa. Mereka mempunyai pekerja sendiri, pengaruh politik, hubungan rapat dengan pegawai zaman kolonial, serta penguasaan ekonomi di kawasan pedalaman.

Sesetengah pengkaji menggambarkan kawasan konsesi itu seolah-olah “negara dalam negeri”.

Pengaruh Duff membawa banyak perubahan antaranya pembukaan kawasan pedalaman, pembinaan laluan, aktiviti perlombongan, serta kemasukan pekerja luar. Namun terdapat juga kesan negatif antaranya pengambilan tanah tradisional, konflik dengan penduduk tempatan, perubahan sistem pendaftaran tanah Melayu, dan tekanan cukai kolonial.

Beberapa kajian mengaitkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap perubahan pentadbiran British dan penguasaan ekonomi asing sebagai faktor yang menyumbang kepada kebangkitan rakyat Kelantan (1915) yang dipimpin oleh Tok Janggut.

Walaupun faktor pemberontakan itu lebih berkait cukai dan pentadbiran British, perubahan ekonomi akibat konsesi besar seperti Duff turut menjadi latar penting ketidakpuasan rakyat terhadap campur tangan British.

Gambar kawasan Hulu Kelantan sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment