Thursday, 21 July 2022

SEJARAH SULTAN PEMERINTAH TERAWAL NEGERI KELANTAN

 
Diriwayatkan dalam tahun 1411M di Kelantan, terdapat seorang Raja yang beragama Islam bernama Raja Kumar. Raja Kumar telah menjalinkan hubungan muhibbah dengan Maharaja China.  
 
Selepas pemerintahan Raja Kumar lahir pula pemerintahan Sultan Iskandar sehingga 1465M, diikuti oleh Sultan Mansur, putera Sultan Iskandar. 
 
Pada zaman pemerintahan Sultan Mansur, nama Kelantan telah menjadi masyhur sehingga ke negeri Melak di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah. 
 
Pada 1477M, Raja Melaka ini telah menghantar bala tenteranya menyerang Kelantan. Ia berakhir dengan Sultan Mahmud Shah telah berkahwin dengan puteri Sultan Mansur yang bernama Onang Kening, bonda kepada Raja Perak yang pertama, iaitu Sultan Muzaffar Shah (1528M). 
 
Apabila Sultan Mansur Shah mangkat 1526M, maka putera baginda, Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran "Sultan Gombak". Setelah Raja Gombak mangkat, maka cucunda baginda, Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1584M. 
 
Sultan Ahmad telah berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara Draja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dinamakan Cik Siti Wan Kembang. 
 
Sultan Ahmad mangkat pada 1589M, sewaktu Cik Siti Wan Kembang berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi pemangku raja.  
 
Raja Hussein mangkat pada 1610M, maka Cik Wan Kembang ditabal menjadi Raja Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah tenggara Kuala Krai. 
 
Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari jauh, termasuk orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". 
 
Baginda mempunyai seekor kijang yang kemudiannya menjadi lambang kebesaran negeri Kelantan. 
 
Semasa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, di bawah pemerintahan Raja Sakti 1638M. Setelah Baginda mangkat, maka putera Baginda, Raja Loyar telah ditabal menjadi Raja pada 1649M. 
 
Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera, Raja Sakti yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadong. 
 
Hubungan baik telah terjalin di antara kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan kerajaan Loyor di Jembal. Baginda mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti. 
 
Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam yang menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. 
 
Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai. 
 
Puteri Saadong telah diculik oleh Penglima Tentera Siam bernama Phraya Decho dan dibawa kepada Maharaja Siam (1656-1688), kerana kesetiaan pada suami baginda tidak boleh disentuh oleh Maharaja Siam dihantar ke Kelantan. 
 
Setelah Puteri Saadong kembali ke Kelantan telah berlaku pergaduhan dengan Raja Abdullah. Akibat pergaduhan itu Raja Abdullah terkorban kerana kena tikaman cucuk sanggul Puteri Saadong. 
 
Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong telah melantik Raja Abdul Rahim iaitu saudara Raja Abdullah menjadi Sultan di Kota Mahligai pada 1671M dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah, anak Penghulu Ngah Jembal. Selepas itu Puteri Saadong bersemayam di Bukit Marak.  
 
Raja Abdul Rahim telah mangkat ditikam oleh rakyatnya di tepi Tasek Lelayang Mandi. Dengan itu putuslah sejarah "Kerajaan Mahligai". 

Kerajaan Jembal yang pada waktu itu terletak di bawah pemerintahan Raja Umar yang bergelar Sultan Umar pada 1675M.

No comments:

Post a Comment