Satu
perkara lagi yang paling sinonim dengan kota Makkah ialah sejarah mula-mula ia
dibuka oleh Nabi Ibrahim bersama isterinya Siti Hajar dan anak mereka Nabi
Ismail. Di sebalik kisah pembukaan
penampatan Makkah itu terselit pula kisah pengorbanan Siti Hajar. Pengorbanan
Siti Hajar menjadi isteri solehah amat mengkagumkan yang harus dijadikan contoh
kepada semua.
Siti
Hajar adalah isteri kedua Nabi Ibrahim. Perkahwinan itu direstui isteri pertama, Siti Sarah, sebagai satu usaha
untuk melahirkan zuriat Nabi Ibrahim yang bakal meneruskan tugas menyebarkan
agama Allah. Siti Sarah tidak mampu
melahirkan anak disebabkan usianya ketika itu telah mencecah 70 tahun.
Namun,
perasaan Siti Sarah berubah menjadi cemburu setelah Siti Hajar mengandung dan
mengambil keputusan tidak mahu hidup bersama lagi dengan madunya. Nabi Ibrahim terpaksa mengambil keputusan
untuk memisahkan antara kedua isterinya itu untuk mengelak persengketaan.
Peristiwa
itu sebenarnya menyimpan banyak hikmah yang telah ditentukan oleh Allah. Nabi Ibrahim mendapat wahyu agar membawa Siti
Hajar dan anak yang baru dilahirkan, Nabi Ismail, menuju ke satu tempat yang
amat jauh dari kampung halaman mereka di Palestin.
Nabi
Ibrahim membawa Siti Hajar dan Nabi Ismail di satu lembah yang kering kontang
dan tiada penghuni yang kini dikenali Makkah. Kedua beranak itu ditinggalkan dengan hanya sedikit bekalan makanan dan
air minum. Mereka hanya berserah kepada
Allah kerana mengetahui tindakan Nabi Ibrahim itu satu perintah daripada Allah.
Siti
Hajar menyedari jika itulah perintah daripada Allah, sudah pasti Allah tidak
akan mensia-siakan hamba-Nya yang taat. Namun hatinya masih tertanya-tanya apakah hikmah di sebalik perintah
Allah itu.
Bayangkan
perasaan Siti Hajar ditinggalkan berdua dengan anak yang masih bayi di satu tempat
yang tidak berpenghuni dan kering kontang. Pada siapakah dia harus mendapatkan pertolongan jika berlaku sesuatu
perkara yang buruk kepadanya?
Dia
juga tertanya-tanya adakah dia masihkah berpeluang menemui suaminya yang
tercinta. Sedangkah, jarak perjalanan
antara Palestin dengan Makkah pada ketika itu mengambil masa kira-kira enam
bulan dan terpaksa melalui perjalanan yang sukar.
Siti
Hajar memang wanita terpilih yang mana zuriatnya melalui keturunan Nabi Ismail
lahir nabi-nabi seterusnya hinggalah Nabi Muhammad. Kecekalan dan perasaan reda berdepan dengan
cabaran hidup yang sedemikain tentunya tidak pernah dilalui wanita lain.
Tidak
lama selepas tinggal di lembah kontang itu, bekalan makanan dan minuman yang
dibawa telah kehabisan. Lebih
merungsingkan lagi apabila susu badan Siti Hajar sendiri tidak lagi keluar
disebabkan keadaan badannya yang tidak mendapat makanan yang cukup. Nabi Ismail tidak dapat menyusu susu badan
ibunya.
Ketika
itulah Siti Hajar mula resah. Tidak sanggup mendengar tangisan Nabi Ismail
akibat kehausan, Siti Hajar meletakkan Nabi Ismail di satu tempat lalu bingkas
bangun mencari ke segenap tempat untuk mendapatkan air.
Siti
Hajar mendaki sebuah bukit untuk meninjau dari jauh agar dapat melihat
kalau-kalau ada tempat menakungkan air. Dari puncak bukit itu dia melihat dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari sekuat hati ke tempat itu agar
cepat dia mendapat air itu bagi diberi minum kepada puteranya.
Namun,
setelah sampai di tempat itu, apa yang dilihatnya tadi hanyalah
fatamorgana. Dari tempat itu pula dia
melihat ada tempat lain seperti ada air bertakung. Latas dia terus berlari ke tempat itu. Sekali lagi dia kecewa kerana apa yang
dilihatnya itu juga fatamorgana.
Tetapi,
dilihatnya sekali lagi ada tempat seperti air bertakung. Dia terus berlari tanpa mengenal penat bagi
memastikan anaknya dapat minum. Begitu
besar sekali pengorbanan seorang ibu. Dia tidak sedar dirinya sendiri semakin lama tidak berdaya lagi untuk
bergerak.
Tanpa
disedari, Siti Hajar sebenarnya telah berulang alik antara dua bukit iaitu
Bukit Safa dan Bukit Marwah untuk mencari sumber air. Perlakuan Siti Hajar berlari antara Bukit
Safa dan Bukit Marwah adalah tanda pengorbanan yang besar seorang ibu untuk
anaknya.
Sebagai
mengingati dan dijadikan satu iktibar untuk seluruh umat Islam, perbuatan Siti
Hajar berlari-lari berulang-alik dari Bukit Safar dan Bukit Marwah yang
dizahirkan ketika melakukan ibadat haji.
Berlari
atau berjalan bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah berulang
alik sebanyak tujuh kali adalah antara Rukun Haji yang menentukan sah atau
batal ibadat haji yang dilakukan. Rukun
haji itu dipanggil sei yang dilakukan selepas melakukan tawaf.
Kembali
kepada kisah Siti Hajar, selepas dirinya tidak lagi berdaya bergerak untuk
mencari air, dengan rasa hampa dan memikirkan apakah nasib anaknya yang
ditingkalkan seketika itu, dia kembali di tempat anaknya ditinggalkan.
Nabi
Ismail yang kehausan ketika ditinggalkan telah menghentak-hentak kakinya ke
bumi. Dengan rahmat Allah, tempat
hentakan kaki Nabi Ismail itu terpancut mata air.
Melihatkan
keadaan itu, Siti Hajar gembira bukan kepalang. Serta merata semangat Siti Hajar pulih. Dia menerpa ke arah air terpancut itu dan ditadah dengan tangan lalu
dititiskan air itu ke mulut Nabi Ismail.
Ketika
menandah air itulah terpancullah dari mulut Siti Hajar perkataan 'zami, zami,
zami yang bermaksud 'berkumpullah, berkumpullah, berkumpullah'. Dari perkataan itulah lahir perkataan air
zam-zam.
Tangisan
Nabi Ismail reda setelah hilang hausnya. Dan dapatlah Siti Hajar pula menikmati air itu untuk mengembalikan
kekuatan dirinya. Tempat air terpancut
keluar itu dibuatkan takungan bagi mengumpul lebih banyak air.
Takungan
air yang dibina itu bukan sahaja dijadikan sumber air minum Siti Hajar dan
anaknya, tetapi dalam tempoh masa yang singkat dikesan oleh burung-burung yang
berterbangan. Berkawan-kawan burung
datang dan pergi silih berganti minum dan berehat di kawasan itu.
Pergerakan
burung itu kemudian dikesan oleh satu kabilah yang melalui kawasan itu. Mereka dapat mengagak bahawa tempat itu ada
sumber air. Lantas, mereka
mencari-carinya dan terjumpalah sumber air yang tidak disangka-sangka itu.
Dengan
itu Siti Hajar pertama kali dapat menemui orang sejak ditinggalkan suaminya di
situ. Ada kabilah menawarkan untuk
membawa Siti Hajar meninggalkan tempat itu. Namun, dia tetap setia berpegang
kepada perintah suaminya agar tetap tinggal di tempat itu.
Selepas
peritiwa itu, kabilah telah menjadikan kawasan Makkah sebagai laluan perjalanan
untuk memudahkan mendapatkan bekalan air. Setiap kali air dicedok, air yang keluar semakin banyak. Lebih menakjubkan, rasa dan khasiat air
zam-zam amat istimewa berbanding air biasa.
Memandangkan
ada bekalan air yang terjamin di situ, ada kabilah yang terus menetap di
situ. Mereka yakin tempat itu dipenuhi
dengan barakah. Tidak hairanlah jika
dalam tempoh masa yang singkat sahaja, bilangan penduduk Makkah bertambah
dengan mendadak.
Pengorbanan
Siti Hajar wajar dijadikan contoh kepada para wanita dalam menghadapi cabaran
hidup. Jangan mudah merasa kecewa dan
hilang keyakinan diri apabila berdepan dengan sesuatu masalah.
No comments:
Post a Comment