Thursday, 29 December 2022

KEISTIMEWAAN BATU ACEH

  
Batu Aceh ialah sejenis batu nisan berasal dari Aceh, Sumatera Utara. Batu-batu nisan ini telah diukir oleh orang-orang Melayu Aceh sejak abad ke 15 hingga 19 Masehi dan tersebar luas hampir ke seluruh Nusantara. 
 
Digunakan oleh raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu pada zaman itu. Berdasarkan latar belakang sejarah dan budaya, batu-batu nisan ini wajar dianggap sebagai warisan budaya Melayu yang penting. 
 
Bentuk dan ragam hias batu-batu nisan ini adalah gabungan dari kesenian yang wujud di rantau ini. Tulisan yang dipahat mencatatkan tarikh dan nama si mati, petikan ayat-ayat dari Al-Quran dan puisi bertemakan kematian. 
 
Kini Batu Acheh ini merupakan lambang kesenian dan warisan sosio-budaya di negara ini. 
 
Sebagai rekod, kesenian batu nisan Aceh tersebar dari wilayah Pattani sehingga ke Malaysia, Indonesia, dan Brunei dengan mengandungi beberapa jenis tulisan khat antaranya Samar, Figural, Kufi dan Naskhi. 
 
Difahamkan, sebanyak 400 makam orang Islam ditandakan dengan batu nisan Aceh di negara ini dan yang tertua dijumpai di Sayong Pinang bertarikh 856H (1452-1453M). 
 
Terdapat sekurang-kurangnya tiga tipologi batu nisan Aceh terdapat di seluruh Malaysia iaitu bulat, pipih dan blok. 
 
Kebanyakan batu nisan tulisan Aceh ini telah siap dibuat ketika kemangkatan pembesar, namun ada sesetengah yang ditempah khas sebelum kemangkatan. 
 
Kaum kerabat pembesar akan menempah batu nisan ketika seseorang itu uzur dan meletakkan dalam stor khas berdasarkan ukiran tersendiri. 
 
Apa paling penting baginya adalah nilai sebagai bahan simpanan sejarah untuk tatapan generasi akan datang. 
 
Diharapkan kewujudan batu nisan batu Aceh ini tidak hanya dilihat sebagai tanda kematian semata-mata, sebaliknya melihat ia sebagai artifak negara dan kewujudan sejarah asal usulnya. Ia perlu terus terpelihara daripada musnah begitu sahaja.

No comments:

Post a Comment