Thursday, 5 January 2023

CARA JALIN PERSAHABATAN AGAR KEKAL

  
Islam sudah menjelaskan acuan persahabatan sesama manusia. Malah, Islam menggunakan istilah 'persaudaraan' iaitu jauh lebih rapat berbanding 'persahabatan.'
 
Hal ini kerana persaudaraan sesama Muslim didasari oleh asas akidah Islamiah yang menjadikan hubungan tersebut sentiasa dalam keadaan harmoni dan diberkati.
 
Orang Islam tidak boleh menganiya saudara seislam yang lain. Sebaliknya umat Islam perlu saling mengasihi antara satu sama lain. Ini kerana umat Islam perlu bersatu dan berpadu bagi menyerlahkan keindahan Islam.
 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Orang Mukmin bagi orang Mukmin yang lain itu laksana satu binaan, yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain."  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang Mukmin dalam berkasih-sayang dan perasaan belas kasihan dan rasa simpati mereka adalah seperti tubuh badan yang satu, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh badan turut merasai keletihan dan tidak sihat."  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
Peranan seorang sahabat amat penting iaitu perlu membawa sahabatnya ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Sahabat yang baik adalah sahabat yang sentiasa membawa sahabatnya kepada mengingati Allah SWT pada setiap masa.
 
Selain itu, seseorang insan dinilai keperibadiannya berdasarkan siapa yang menjadi sahabatnya. Jika kita mampu menjadi sahabat yang baik, maka kita membawa kebaikan buat sahabat di sekeliling kita.
 

No comments:

Post a Comment