Sunday, 1 July 2018

KES PUNCA BOLEH MENJADI GILA

Pangkat, panggilan, hubungan dan kedudukan boleh menyebabkan gila. Pening bila fikir realiti terpaksa dihadapi. Nampak mudah, tetapi rumit sehingga tiada penyelesaian. Kisah Keluarga 69 memberi petunjuk kepada kita betapa perkara disangka mudah rupanya mencetuskan konflik yang tidak mampu diselesaikan, melainkan reda dan terima sahaja ketentuan selagi ia tidak menyalahi hukum agama.

Cuba baca dan faham kisah di bawah. Baca perlahan-lahan langkah demi langkah. Faham betul-betul ayat demi ayat. Kalau rasa tidak faham, jangan paksa diri untuk memahaminya kerana takut jadi gila. Kalau hendak diteruskan membaca untuk memahaminya, pastikan rehat minda dahulu sebelum meneruskan pemahamah.

Memang boleh jadi gila jika tidak sabar untuk memahaminya. Maka, jika jadi gila, memang layak kerana ia memang kes berat. Kes berlaku di Hospital Mental atau Hospital Gila di Tanjung Rambutan. 

Dalam satu sesi temubual doktor dengan seorang pesakit untuk mengetahui bagaimana pesakit itu terjebak dengan masalah mental sehingga menerima rawatan di hospital rawatan jiwa itu. Ketika itu, pesakit sudah agak tenang dan boleh mengingati apa yang berlaku kepadanya sehingga menghadapi gangguan mental.

Doktor: Bagaimana awak jadi gila?

Pesakit : Beberapa tahun dulu, saya menikah dengan seorang janda. Dia ada seorang anak perempuan yang umur 20 tahun. Ayah saya seorang duda selepas kematian ibu saya. Tiba-tiba ayah saya meminang dan berkahwin dengan anak tiri saya. 

Dengan penikahan itu, maka anak tiri saya sudah menjadi ibu tiri saya. Pada masa sama ayah saya pula menjadi menantu saya. Selepas 2 tahun, isteri saya bersalin. Anak saya adalah adik kepada ibu tiri saya. Anak saya panggil saya Abah dan kadang-kadang  panggil saya Pakcik.

Beberapa tahun kemudian bapa saya dan anak tiri saya yang juga ibu tiri saya pula dapat anak. Anak itu adalah adik tiri saya tapi dia panggil saya atuk. Maka saya adalah suami kepada isteri saya. Isteri saya nenek pada adik saya sebab dia ibu kepada adik tiri saya. 

Persoalannya, doktor... adakah saya datuk kepada diri saya sendiri? Setiap hari saya fikir..sedar-sedar saya sudah gila doktor. Tidak lagi dapat kenal kedudukan diri sendiri dalam hubungan keluarga.

Doktor: Berat kes ini. Kalau hendak difikirkan, nanti saya sendiri boleh jadi gila.

Jadi, kepada pembaca semua, jangan serius sangat hendak fikirkan permasalahan ini. Takut nanti anda pula akan ditanya oleh doktor” “Bagaimana awak jadi gila?”

No comments:

Post a Comment