Firman Allah SWT bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana
sesungguhnya sudah nyata kebenaran (Islam).”
(Surah al-Baqarah, ayat 256).
Perlu difahami,
toleransi ini tidak bermakna berdiam diri dalam perkara yang menyentuh
sensitiviti agama, maruah diri dan keselamatan. Kita tidak boleh berlembut atau
menyokong perbuatan yang membawa kepada dosa dan memesongkan akidah.
Allah SWT berfirman
dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan
janganlah kamu bertolong menolong dalam berbuat dosa dan pemusuhan dan bertakwalah
kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Keras dalam menjatuhkan hukuman.”
Mentafsir ayat ini,
Ibnu Katsir menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan orang beriman untuk
tolong menolong dalam kebaikan dan meninggalkan kemungkaran dan melarangnya
untuk saling bantu menbantu dalam kebatilan dan dosa. Meniru atau terikut-ikut
cara ibadat bukan Islam adalah batil dan
dosa, hukumnya adalah haram.
Sikap toleransi
sehingga menerima fahaman pluralisme agama yang menyamaratakan semua agama
perlu ditolak. Fahaman ini turut didukung oleh sekelompok umat Islam yang
dikenali sebagai penganut ‘Islam Liberal’. Aliran atau manhaj Islam Liberal
menekankan ciri keterbukaan dan kebebasan dengan mengutamakan akal logik dalam
mentafsir ajaran Islam. Aliran ini berusaha untuk keluar daripada kaedah
pentafsiran ilmu tradisi serta apa yang sedia ada dalam syariat Islam yang asli
dan tulen.
Allah SWT berfirman dalam surah al- Baqarah ayat
42 yang bermaksud: “Dan
janganlah kamu campur-adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu
sembunyikan yang hak itu, sedangkan kamu mengetahui.”
Sedangkan dalam
aktiviti kehidupan seharian, Islam mewajibkan umatnya untuk berbuat baik kepada
bukan Islam apalagi kepada sesama Islam. Ketika ada yang memerlukan bantuan,
haruslah dibantu dengan termampu. Jika ada pihak lain membuat ancaman, maka
hendaklah membantu mempertahankan hak yang sepatutnya dirasai. Itulah adab umat
Islam dalam membangun tolerannya.
Rasulullah SAW malah mengancam umat Islam yang berbuat zalim
kepada zimmi dengan ancaman tidak masuk syurga. Rasulullah SAW bersabda
bermaksud: “ Barangsiapa
yang membunuh bukan Islam yang terikat perjanjian dengan umat Islam, maka ia
tidak akan mencium keharuman syurga, meskipun keharumannya itu dapat dicium
dari jarak empat puluh tahun perjalanan.” (Hadis riwayat Bukhari)
Jika toleransi dituntut dalam ajaran Islam, maka perbuatan ekstrem yang
berlawanan dengan toleransi sudah tentu amat ditegah atau dibenci. Sesungguhnya,
Islam tidak pernah meletakkan tindakan ekstrem sebagai cara untuk mencapai
apa-apa maksud atau tujuan.
Ajaran Islam tidak membenarkan umatnya mengamalkan perbuatan ekstrem,
bahkan tidak menyokong sebarang bentuk penindasan dan ketidakadilan. Umat Islam
ditegah mendatangkan sebarang bencana atau kesusahan kepada pihak lain. Mana-mana
individu Islam yang melakukan perbuatan ekstrem tidak patut mengaku melakukan
perbuatan itu atas dasar memperjuangkan Islam.
Justeru itu, sebaranga tuduhan yang dilemparkan kepada umat Islam sebagai
pengganas, ekstrem, militan, radikal dan kejam adalah dakyah yang dilakukan
oleh pihak berniat jahat terhadap umat Islam. Mereka sebenarnya tidak
mengetahui mengenai ajaran Islam yang sebenar.
Media Barat sentiasa melancarkan propaganda untuk menggambarkan Islam
sebagai paksi segala kejahatan. Berita yang melibatkan umat Islam yang
digambarkan sebagai pengganas mendapat ruang utama di media massa Barat. Malah
berita itu diperbesar-besarkan dengan penambahan yang sengaja direka-reka.
Sedangkan hakikat sebenarnya, keganasan berlaku di serata dunia yang
dilakukan dalam mana-mana masyarakat dan agama. Penganut agama lain juga
melakukan perbuatan ekstrem yang ditujukan kepada penganut Islam.
Namun, perbuatan ekstrem penganut agama lain cuba disembunyikan seperti
tidak berlaku langsung. Sebaliknya, orang Islam sahaja yang digambarkan melakukan
perbuatan ekstrem. Mereka mengaitkan bahawa ajaran Islam mengajar umatnya
melakukan keganasan.
Antara fakta salah yang digunakan untuk menyokong dakwan mereka ialah
sejarah pengembangan agama Islam pada masa lalu yang dilakukan secara
peperangan. Mereka menyembunyikan fakta sebenar dan hanya menilai secara luaran
sahaja.
Gambaran itu menjadikan seluruh masyarakat dunia menjadi fobia terhadap
umat Islam. Sedangkan hakikat sebenarnya Islam amat benci sebarang bentuk
keganasan. Islam amat mencintai keamanan dan kesejahteraan untuk dinikmati
seluruh penghuni dunia ini.
Prinsip toleransi dan menolak sikap melampau menjadi tulang belakang kepada
penerimaan Islam dalam masyarakat Arab ketika Islam mula disebarkan oleh
Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tidak melakukan paksaan kepada mana-mana
individu atau kaum untuk menerima Islam. Agama Islam digambarkan mudah dan
indah tanpa amalan yang membebankan umatnya.
No comments:
Post a Comment