Sunday, 29 July 2018

PERKARA 153 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa- apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

Jangan prejudis kepada perkara 153. Senarionya sekarang Melayu cuma mempertahankan hak dalam Perlembagaan tetapi pada masa yang sama bukan Melayu menuntut tambahan hak, adakah ini bermakna akan berlaku kesamarataan yang sekali gus menjejaskan hak orang Melayu?

Kita tidak boleh mengikut demokrasi seumpama barat yang menekankan kesamarataan. Kalau sampai ke tahap itu pasti akan timbul cadangan supaya Perkara 153 dimansuhkan daripada Perlembagaan.

Walaupun Perlembagaan kita dikatakan living document, boleh berubah dari semasa ke semasa tetapi sebenarnya kesamarataan itu yang Suruhanjaya Reid mahu. Kalau kita baca semula laporan Suruhanjaya Reid sampai satu tahap tidak akan ada beza antara kaum-kaum di negara ini.

Jangan sampai satu tahap sama rata dan itu boleh membahayakan Perlembagaan dan kestabilan politik kita. Kita mencipta satu bentuk sistem Perlembagaan yang unik dan tiada mana-mana contoh Perlembagaan di dunia yang mempunyai ciri-ciri Perlembagaan kita. Cuma Malaysia sahaja di dunia ini ada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam buku Chinese Dilemma dan Chinese Contributions mereka bangkitkan tentang peranan mereka, sememangnya kita terima peranan mereka membangunkan Bank Negara misalnya, tapi mereka kena ingat ini adalah negara mereka dan itu adalah sumbangan mereka.

Apa yang mereka tidak dapat di negara ini. Sistem pendidikan misalnya kita lihat Singapura hanya ada satu sistem, tetapi di sini semuanya ada. Perpaduan bangsa kita seperti yang dikatakan oleh Syed Naquib Al-Attas umpama jalur-jalur besi yang tidak boleh nak dicairkan kerana adanya prejudis. Adakah 153 menjadi satu isu untuk mereka prejudis kepada Melayu, itu tidak adil untuk bangsa Melayu.

No comments:

Post a Comment