Dalam
menjaga hubungan dan berurusan dengan pelanggan, Islam telah mengenengahkan
satu kaedah efektif yang mudah dan murah iaitu dengan mengurus kemarahan.
Mengurus kemarahan bererti menahan serta mengawalnya di mana-mana dan dengan
sesiapa jua adalah kaedah yang sangat efektif untuk menzahirkan profesionalisme
apabila berurusan dan bertindak khasnya di tempat kerja.
Sabda
Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah yang bermaksud: “Seorang lelaki telah
berkata kepada nabi SAW, berikanlah wasiat kepadaku. Jawab nabi, janganlah
engkau marah. Kemudian diulang beberapa kali. Janganlah engkau marah”. (Hadis
riwayat Bukhari)
Pesanan
Rasulullah SAW ini sungguh ringkas, tapi tips yang sangat berguna. Ia bermaksud
mengawal dan menahan nafsu kemarahan yang berlebihan dan membawa keburukan.
Bukannya bermaksud menghilangkannya kerana itu mustahil bagi tabiat semula jadi
makhluk dan juga kerana kemarahan yang betul cara ia diluahkan dan sesuai
dengan keadaan dan masanya juga mempunyai manfaat. Iaitu marah yang tidak
mengikut rasa hati semata-mata atau kerana membalas dendam atau kerana sesuatu
yang remeh dan kecil kesannya, apatah lagi marah tanpa sebab.
Pelbagai
kategori manusia dengan sifat marah dan pelbagai kaedah mengurusnya ditentukan
oleh Rasulullah SAW sebagai latihan kita ketika berdepan dengan kerenah dan
sikap manusia yang pelbagai khasnya di tempat kerja. Menurut Imam al-Ghazzali
manusia dengan kemarahannya terbahagi kepada tiga kategori.
Pertama,
individu yang cepat marah dan cepat reda dan hilangnya; kedua, lambat marah dan
lambat pula reda dan hilangnya dan ketiga lambat marah dan cepat reda dan
hilangnya. Justeru, jenis yang ketiga inilah yang terpuji.
Antara
kaedah mengurus kemarahan ialah dengan duduk sekiranya sedang berdiri, dengan
berdiam seketikanya sedang berkata-kata, mengambil wuduk, memperbanyakkan
beristighfar, bertaw’iz dan memperbanyakkan berdoa agar menjadi insan yang
tenang dan sabar.
Abu
Zar al-Ghifari berkata bahawa Rasulullah SAW pernah berkata kepada kami:
“Apabila kamu marah dalam keadaan kamu sedang berdiri, maka duduklah supaya
hilang kemarahan. Jika masih belum hilang, maka hendaklah kamu baring”.
Semua
cara ini adalah untuk mengembalikan ketenangan berfikir supaya dapat membuat
pertimbangan yang adil serta menyejukkan hati yang panas serta menjauhkan diri
dari godaan syaitan.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Kemarahan itu daripada syaitan dan syaitan
diciptakan dari api. Api dipadamkan oleh air. Oleh itu, jika ada di antara kamu
yang merasa marah, hendaklah ia mengambil wuduk. (Hadis riwayat Ahmad)
Mengurus
kemarahan bukan saja dapat mewujudkan perhubungan yang baik sesama manusia
bahkan dapat menghindarkan daripada kemurkaan Allah SWT seperti yang dinyatakan
oleh sahabat Rasulullah SAW, Amru bin al-As serta dijanjikan syurga baginya.
Firman
Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 133-134 bermaksud: “Dan bersegeralah kamu
kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan mendapat syurga yang seluas langit dan
bumi, dan disediakan bagi sekalian yang bertakwa iaitu mereka yang mendermakan
hartanya pada masa senang dan susah dan mereka yang menahan kemarahan dan
memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah Maha mengasihi mereka yang melakukan
kebaikan.”
Muhammad
bin Ka’ab pula diriwayatkan berkata bahawa seseorang itu akan memiliki
kesempurnaan iman dengan tiga sifat iaitu jika dia gembira, kegembiraannya
tidak menjebakkannya kepada kebatilan; jika dia marah, kemarahannya tidak
memesongkannya daripada kebenaran dan jika dia berkuasa, dia tidak mengambil
sesuatu yang bukan daripada haknya.
Apabila
sifat marah dapat dikawal, sifat tenang, sabar, bertimbang rasa dan maaf dengan
lebih mudah akan menyubur dalam hati. Marah tidak boleh berkawan dengan sifat
baik pada masa yang sama.
Marah,
perkara yang kecil boleh menjadi besar, orang yang tidak bersalah boleh menjadi
mangsa, tindakan dan keputusan yang diambil akan terjejas, nada dan intonasi
suara menjadi tinggi dan mengundang suasana tegang dan tidak disenangi oleh
pelanggan dan rakan sekerja. Akibatnya, kerana nyamuk seekor, habis kelambu
dibakar. Kerana nila setitik, habis susu sebelanga.
Mengurus
kemarahan perlu dilatih untuk mengawal emosi dan memelihara perhubungan
interpersonal. Oleh itu, marilah kita mengurus kemarahan dengan cara yang
profesional semasa berinteraksi dan berkomunikasi sesama pelanggan, rakan dan
majikan untuk membentuk perseki-taran kerja yang harmoni, serta menjaga imej
organisasi, menguatkan kepercayaan pelanggan, menjauhkan diri daripada
kemurkaan Ilahi serta meningkatkan kesempurnaan iman.
No comments:
Post a Comment