Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa berpuasa dengan penuh keimanan dan
ketakwaan, maka dia akan diampunkan baginya segala dosa yang lalu.” (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim).
Sedangkan pintu neraka dikuncikan menghalang daripada orang berpuasa
memasukinya. Sesiapa berpuasa dengan sebenar-benarnya, maka telah diampunkan
dosa-dosanya seperti dia baru dilahirkan.
Rasulullah sabda yang bermaksud: “Akan datang kepada kamu bulan Ramadan,
bulan keberkatan, difardukan oleh Allah kepadamu puasa dalam bulannya, dibuka
pintu langit dan dikunci pintu neraka, dirantai akan syaitan. Demi Allah
terdapat padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa
terlepas akan keberkatan dan kebaikan malam itu, maka dia adalah orang
kerugian.” (Hadis riwayat Nasai dan Baihaqi).
Ibadat puasa yang dilakukan secara ikhlas menjadi benteng menjauhkan diri
daripada melakukan perbuatan buruk. Ia dijelaskan oleh Rasulullah dalam
hadisnya bermaksud: “Puasa itu benteng daripada kejahatan.” (Hadis riwayat
Muslim, Ahmad dan Nasai).
Sesiapa berpuasa, tetapi masih melakukan perkara ditegah seperti menipu,
mengumpat, berdengki, sombong dan sebagainya, sebenarnya tidak layak dipanggil
berpuasa. Dalam dirinya masih dikuasai oleh syaitan yang ditanam selama ini.
Syaitan dibelanggu pada bulan Ramadan, tetapi sifat syaitan yang tertanam
sekian lama di dalam diri adalah urusan manusia sendiri untuk menundukkannya. Sebab
itu amat penting amalan puasa dilakukan dengan hati ikhlas dan hanya
mengharapkan keredaan Allah.
Sesiapa berpuasa tetapi masih melakukan perkara ditegah sebenarnya hanya
berpuasa sekadar sah pada rukum tetapi tidak mencapai makna puasa sebenarnya. Sebab
itu ramai berpuasa tidak meninggalkan daripada melakukan perkara ditegah. Mereka
hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Berapa ramai orang berpuasa, tetapi tidak
diperoleh apa-apa kebaikan, kecuali hanyalah rasa lapar dan dahaga.” (Hadis
riwayat Nasai, Ahmad dan Ibnu Majah).
Sesungguhnya amat rugi sesiapa mempersia-siakan sepanjang Ramadan. Allah
melebihkan Ramadan bukan kerana diwajibkan puasa semata-mata, tetapi
keseluruhan Ramadan itu disediakan pelbagai keistimewaan.
Sesiapa benar-benar yakin dan ingin merebut kelebihan Ramadan, pasti tidak
mempersia-siakan setiap detik Ramadan. Disebabkan terlalu mencintai kelebihan
Ramadan, ramai mengharapkan agar semua bulan menjadi seperti bulan Ramadan.
No comments:
Post a Comment