Dengan kata lain, tindakan sesetengah individu menghentikan atau
mengurangkan tumpuan kepada urusan kehidupan seharian pada bulan Ramadan bukan
satu langkah bijak.
Peluang menghampirkan diri kepada Allah bukan hanya ketika di tikar
sembahyang atau beriktikaf di masjid. Jika benar-benar mencari peluang
kebaikan, di mana saja kita berada boleh mendampingai Allah dengan selalu
mengingati-Nya melalui zikir, astighfar dan doa.
Astighfar dan doa dalam bulan Ramadan mudah diterima oleh Allah. Bahkan, Allah sentiasa menawarkan keampunan
dan memakbulkan doa dilakukan pada bulan Ramadan.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Pada setiap malam bulan Ramadan, Allah
berfirman tiga kali: “Apabila ada orang yang meminta, maka Aku akan tunaikan
permintaannya, jika ada yang meminta ampun, maka Aku akan ampun.” (Hadis
riwayat Tarmizi).
Sesiapa menghampiri Allah dengan apa cara sekalipun, maka pasti Allah akan
menghampirinya dengan jarak berganda. Sudah pasti sesiapa merasakan dirinya
sentiasa hampir dengan Allah, mendapat petunjuk dan dilindungi dirinya daripada
melakukan apa yang bertentangan syariat.
Peluang meningkatkan kedudukan di sisi Allah perlu direbut, terutama
sepanjang Ramadan. Sekiranya tidak mampu melakukan sepenuhnya seperti apa
disaran oleh Rasulullah, setidak-tidaknya ibadat dan kebajikan dilakukan
sepanjang Ramadan lebih baik berbanding bulan-bulan lain.
Nilai balasan bagi ibadat puasa amat tinggi dan diangkat oleh Allah sebagai
untuk-Nya. Ia dapat difahamkan betapa Allah memberi ganjaran khusus bagi ibadat
puasa yang amat berlainan berbanding ibadat-ibadat lain.
Rasulullah bersabda dalam hadis Qudsi bermaksud: “Allah berfirman: “Setiap
amalan baik anak Adam adalah untuk dirinya melainkan puasa, ia adalah untuk-Ku
dan Akulah yang akan membalasnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
No comments:
Post a Comment