Sunday 29 July 2018

ORANG MELAYU TERLALU BERDIPLOMATIK SOAL HAK

Orang Melayu terlalu berdiplomatik dengan sifat kemelayuan, sedangkan Melayu sebenarnya kuat dan hebat, tetapi sekarang ini kita terlalu apologetik. Sikap apologetik dan diplomatik, sikit-sikit minta maaf menyebabkan orang naik tocang. Sikap ini kalau dilakukan terlalu kerap orang akan bosan.

Faktor utama mengapa hak orang Melayu di sisi Perlembagaan sering dipersoalkan ialah tidak tegas dari segi penguatkuasaan dan sifat apologetik. Inilah dua karakter yang menyebabkan Perkara 153 dipijak, menyebabkan kedudukan orang Melayu dipijak sehingga orang Melayu rasa bersalah dan malu untuk mengaku kita sebenarnya ada keistimewaan.

Tidak mustahil mereka yang mencetuskan semua ini. Mereka yang nak jadi juara memperjuangkan hak sama rata, tanpa memahami sejarah Perlembagaan secara semangatnya. Mereka melihat Perkara 153 itu seolah-olah membawa pandangan buruk kepada Melayu, mereka rasa keistimewaan itu macam bantuan kepada orang cacat, benda yang buruk kepada orang Melayu. Ini menjadikan orang memijak Perlembagaan. Mereka ini tali barut yang menjadikan Perkara 153 dan orang Melayu sendiri bencikan keistimewaan Melayu. Kita tidak menafikan perkembangan mutakhir ini menunjukkan wujud dua Melayu iaitu Melayu liberal dan Melayu Perlembagaan..

Kita lihat suara untuk kesamarataan ini semakin berkumandang tetapi ia seolah-olah menjurus kepada bidang tertentu sahaja?  Kita lihat dalam pengambilan anggota polis terbuka kepada semua kaum tetapi adakah kaum bukan Melayu berminat menyertainya. Kita tidak pasti apa benda dan sektor mana yang mereka inginkan. Kalau nak juga keistimewaan Melayu ditarik balik tunjukkan bahawa keistimewaan ini telah menafikan mereka daripada mendapat hak-hak yang munasabah termasuk dari sudut ekonomi dan politik. Tunjukkan, barulah kita fikir Perlembagaan itu layak diubah. 

Apa yang berlaku sekarang lebih kepada agenda politik. Sepatutnya semua pihak mesti membezakan antara politik dengan Perlembagaan. Jika kita lihat kedudukan bukan Melayu terutama dari sudut politik dan ekonominya amat memberangsangkan dan bukan sedikit kalangan mereka yang kaya raya di sebalik wujudnya Perkara 153 ini.

Hakikatnya, tidak nampak apa salahnya dalam sistem itu, cuma mekanisme itu yang perlu dilihat balik dan saya rasa Perkara 153 tidak boleh dikompromi dalam membina bangsa Malaysia. Kita tidak boleh potong Perkara 153 sampai bila-bila pun, kerana bangsa kita memerlukan safeguard (pengawalseliaan) iaitu Perlembagaan untuk mengawal Melayu.

Kita mesti ingat di dunia hanya di Malaysia yang wujud Melayu begini, di Indonesia sudah tidak ada, di Afrika Selatan juga tidak ada identiti Melayu sebegini. Kita yang masih tulen dan mempunyai keistimewaan kalau hendak dilihat Melayu di Singapura apa agaknya yang mereka ada.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa- apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

No comments:

Post a Comment