Satu menu nasi yang cukup sinonim dengan
masyarakat Negeri Kelantan ialah nasi tumpang atau dalam dialek Kelantan
disebut 'nasi tupe' atau 'nasi tupae'. Dipercayai nasi tumpang telah
dipasarkan di sekitar Kota Bharu terutamanya di Pasar Kubang Pasu sejak
berpuluh tahun yang lalu.
Nasi tumpang menarik perhatian kerana rasa
unik dan cara dibungkus dengan daun pisang dalam bentuk kon. Daun pisang yang
digunakan perlu disalai atau dilayurkan untuk mengelak ia mudah carik dan
memudahkan kerja pembungkusan.
Sekarang ini ada pembuat nasi tumpang
menggunakan kertas pembungkus makanan untuk menggantikan daun pisang yang sukar
diperoleh. Namun, penggunaan kertas pembungkus itu dianggap menghilang identiti
nasi tumpang dan mengubah aroma rasa.
Nasi tumpang yang mana nasinya lembek,
dibungkus di dalam daun pisang yang mana diisi secara berselang seli (layer)
dengan lauknya. Kebiasaannya lauk terdiri daripada udang, ikan, sambal ikan,
gulai dan telur dadar.
Setiap proses tersebut perlu dilakukan
dengan cermat supaya nasi dan lauk berada dalam keadaan kemas, selain mengelak
daun pisang koyak mengakibatkan nasi terkeluar.
Setelah siap, bungkusan nasi tumpang itu
dikepilkan dengan lidi dan bahagian luar daun pisang disapu minyak supaya
kelihatan segar dan menarik.
Lantaran berikutan banyak jenis lauk yang
'menumpang' dalam nasi itu, maka akhirnya ia dikenali sebagai nasi tumpang dan
dikenali sehingga ke hari ini.
Bagaimanapun, asal usul nasi tumpang mula
dihasilkan, tiada individu yang dapat menyatakannya secara tepat.
Keadaan nasi itu yang lembek dan dicampur
pelbagai jenis lauk, menjadikannya menu cukup istimewa dan amat sesuai untuk
kanak-kanak serta orang tua yang tidak boleh memamah makanan keras.
No comments:
Post a Comment