Tiada ada alasan mengharuskan suami mendera isteri. Sekiranya ada
kesilapan dilakukan isteri, Islam telah menetapkan beberapa langkah perlu
dilakukan suami. Cara ini sesuai dengan kedudukan suami bertindak sebagai
pemimpin dan pelindung isteri.
Firman Allah SWT bermaksud: “Lelaki adalah pemimpin bagi
perempuan oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas
sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan
sebahagian daripada harta mereka.” - (Surah an-Nisa, ayat 34)
Selisih faham dan berbeza pendapat antara suami isteri adalah suatu
yang lumrah kerana tidak ada manusia sentiasa sama dalam semua perkara. Perbezaan
sepatutnya menjadi asam garam kehidupan untuk menjadi lebih mesra, matang dan
saling memerlukan antara suami isteri. Suami isteri perlu menerima pasangan
seadanya dan berusaha membaiki apa yang kurang.
Mana-mana isteri yang tidak patuh kepada suami tanpa alasan
munasabah dipanggil nusyuz. Perlakuan itu sama ada berkaitan zahir mahupun
batin. Isteri perlu taat dan melakukan apa yang disukai suami. Ketaatan terhadap
suami satu perkara penting yang diperintahkan agama agar dilakukan oleh setiap
isteri.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Jika aku mahu menyuruh
seseorang sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku terlebih dahulu
menyuruh seorang isteri sujud kepada suaminya." (Hadis riwayat Tirmizi,
Abu Daud dan Ibn Majah).
Kedudukan istimewa suami bukan satu pasport untuk mendera isteri. Sebaliknya,
ia satu amanah besar untuk menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan
keperluan hidup untuk isteri dan anak. Jadi, ditegah suami mendera isteri
dengan apa cara sekalipun.
Sekiranya isteri melakukan nusyuz, langkah pertama dilakukan suami
adalah menyatakan bahawa perbuatan itu tidak disukainya dan menasihat agar
tidak mengulanginya lagi. Suami perlu menjelaskan apa yang disukai dan tidak
disukainya. Mungkin isteri tidak mengetahui perbuatan itu tidak disukai suami
dan menyalahi tuntutan agama.
Firman Allah SWT bermaksud: "Dan perempuan-perempuan yang
kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka."
- (Surah an-Nisa, ayat 34).
Sambungan ayat tersebut menjelaskan langkah seterusnya perlu
dilakukan suami jika isteri masih ingkar iaitu meninggalkan tempat tidur. Jika
masih tidak berubah, langkah disarankan agama ialah memukulnya dengan ringan
bertujuan untuk memberi peringatan dan pengajaran.
Keizinan
memukul isteri sebenarnya hanya tahap tidak mencederakan fizikal yang sekadar
menunjukkan ketegasan suami agar isteri tidak lagi berani melakukan perkara
tidak diingini. Bahan untuk memukul itu biasanya berupa kain atau sifatnya
tidak mendatangkan kecederaan atau luka.
Tentunya
dalam kes penderaan terhadap isteri yang dilaporkan di media bukan bertujuan
mengajar apabila sehingga menyebabkan kecederaan serius melibatkan penggunaan
objek keras dan tajam. Jika menggunakan lesung batu dan pisau, layaknya
perbuatan itu dipanggil cubaan membunuh.
Rasulullah
SAW memberi ingatan dengan sabda bermaksud: “Mengapa ada lelaki di kalangan
kamu yang suka memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, padahal dia
akan menyetubuhi isterinya itu pada hari yang lain.” - (Hadis riwayat Ahmad).
Selain penderaan secara fizikal, satu lagi bentuk penderaan ialah
melibatkan berbentuk mental dan emosi yang boleh berlaku apabila suami melayan
isteri dengan buruk, memanggilnya dengan panggilan menghina dan menjatuhkan
maruahnya di hadapan orang.
Isteri yang tidak tahan didera oleh suami wajar membawa perkara
itu ke mahkamah syariah. Mengikut kaedah fiqh 'kemudaratan hendaklah
dihilangkan' agar tidak berterusan. Pihak mahkamah syariah melalui bidang kuasa
boleh memanggil suami dan memberi nasihat. Pendekatan menggunakan hakam
(jurupendamai) juga dicadangkan untuk mengatasi masalah rumahtangga.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jika kamu khuatir ada
persengketaan antara keduanya, kirimkan seorang hakam dari keluarga lelaki dan
seorang hakam dari keluarga wanita.
Jika kedua-dua hakam itu
bermaksud mengadakan perdamaian, nescaya Allah memberi petunjuk kepada suami
isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui lagi Maha Mengenali.” - (Surah an-Nisa, ayat 35).
Jika sikap suami masih tidak berubah, isteri mempunyai pilihan
untuk membubarkan perkahwinan atau bercerai melalui khulu atau tebus talak. Isteri
juga boleh menfailkan permohonan perceraian melalui fasakh dan taklik.
Ketiga-tiga
kaedah perceraian itu dapat mengelak kemudaratan yang lebih besar jika
diteruskan perkahwinan itu. Isteri perlu mengetahui hak-hak mereka dalam
perkahwinan agar tidak terus menjadi mangsa perbuatan tidak bertanggungjawab
suami.
No comments:
Post a Comment