Kesempurnaan hidup seorang lelaki
yang berbangga dengan kedudukan yang dicapainya sebenarnya bermula dari didikan
dan kemampuan seorang wanita bergelar ibu. Tidak sempurna kehidupan seseorang
tanpa terlebih dahulu dididik dan dibentuk pekertinya oleh seorang wanita.
Kejayaan seorang lelaki ada di
sisinya seorang wanita. Ibu, kakak, dan isteri sentiasa memberi sokongan moral
dan membantu apa yang diperlukan oleh lelaki. Dengan kata lain, sumbangan yang
dilakukan lelaki kepada kecemerlangan ummah secara langsung juga adalah hasil
yang diusahakan oleh wanita.
Oleh itu wanita tidak perlu merasa
terpinggir atau tidak diperlukan. Sebenarnya masyarakat mengiktiraf sumbangan wanita yang disumbangkan
melalui suaminya.
Suami yang dianugerahkan gelaran
Datuk, turut memberi gelaran Datin untuk isterinya. Tetapi, seseorang wanita
yang diberikan anugerah gelaran, tidak pula turut diberikan kepada
suaminya.
Justeru amatlah perlu lelaki
menjadikan wanita sebagai teman dan pembantu dalam semua hal, asalkan ia tidak
melampaui batasan syariat. Usaha meminggir peranan wanita dalam pembangunan
ummah sebenarnya merugikan semua pihak.
Banyak sumbangan yang mampu
disumbangkan oleh wanita memandangkan taraf pendidikan dan kemahiran dimiliki
wanita kini setanding dengan lelaki.
Mana-mana pihak meminggirkan wanita
samalah dia kembali kepada kehidupan zaman Jahiliah yang mana wanita hanya
dianggap masyarakat kelas kedua. Kedudukan wanita dipandang hina, sial dan
membawa rasa malu dalam keluarga mendorong masyarakat Jahiliah menanam
hidup-hidup anak perempuan mereka.
Dalam masyarakat moden hari ini
masih ada golongan yang sering memperkecil-kecilkan sumbangan wanita. Lebih
malang ada golongan yang menyalahkan wanita sebagai segala punca maksiat. Apa
sahaja berlaku maksiat, wanita dikatakan menjadi puncanya. Lantas, golongan
wanita dikatakan perlu ‘dikongkong’.
Sebab itu topik mengenai wanita
sering menjadi perdebatan. Isu mengenai fesyen, kerjaya, hak dalam keluarga,
dan kelemahan wanita terus dihangatkan. Ada golongan yang melihat wanita dalam
pendangan yang ‘membolehkan’ semua dan ada pula menyekat secara terus.
Wanita di negara kita bertuah
mendapat kedudukan sama dengan lelaki. Kerajaan memberi komitmen padu ke arah
kesaksamaan gender yang dimenifestasikan melalui penggubalan Dasar Wanita
Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita.
Komitmen kerajaan dalam usaha
membangun dan memperkasakan wanita terbukti apabila Artikel 8(2) Perlembagaan
Persekutuan, dipinda pada Ogos 2001 bagi mengatasi masalah diskriminasi gender
yang sekali gus melrang undang-undang dan polisi diskriminasi wanita.
No comments:
Post a Comment