Monday, 14 June 2021

MAKAN TELUR HAIWAN TIDAK HALAL

 
Sesungguhnya Islam telah menghalalkan pelbagai jenis makanan kepada umatnya. Maka, janganlah sesekali kita mengharamkan makanan-makanan yang telah diizinkan kita untuk menikmatinya. 
 
Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. (Surah al-Maidah, ayat 87) 
 
Berkaitan dengan hukum memakan telur-telur haiwan, para ulama mazhab al-Syafie, secara asasnya membolehkan untuk memakan telur haiwan. Lihat al-Mu’tamad (2/588). Namun begitu dalam isu ini perlu dilihat sekiranya ia memberikan mudarat maka haram dimakan telur tersebut. 
 
Ini selaras dengan hadis Nabi SAW: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain.” (Hadis riwayat Ibn Majah) 
 
Hal ini turut dibahaskan oleh beberapa fuqaha Mazhab al-Syafie antaranya: “Kesemua telur suci meskipun daripada (haiwan yang) tidak dimakan (dagingnya), walaupun telah berubah (menjadi) darah di mana jika diperam akan menetas. Namun diharamkan memakan apa yang memudaratkan seperti telur ular. Lihat kitab Qalyubi wa Umairah (1/82)                      
 
Imam al-Suyuthi pula dalam menyatakan hukum memakan telur haiwan-haiwan dan telur ular menyatakan bahawa: “Tiada telur yang diharamkan bagi kita memakannya. Sesetengah (daripada) mereka (ulama Mazhab al-Syafie) mengecualikan telur ular dan serangga. Tiada syak padanya (pengecualian ini). Lihat al-Asybah wa al-Nazoir (1/695). 
 
Jadi, terpulang kepada seseorang memilih pendapat mana.

No comments:

Post a Comment