Monday, 8 February 2021

BUAH DABAI TERKENAL DI SARAWAK

Buah dabai terkenal di Sarawak. Banyak terdapat di Song, Belaga, Pakan, Julau, Sarikei dan Sibu. Selain itu, ia juga ditemui di kawasan lain di Borneo.

Buah dabai (nama saintifiknya Canarium Odonthopyllum) juga dipanggil zaitun Sarawak. Buahnya sebesar ibu jari yang rasanya yang masam, manis dan berlemak ini sentiasa menjadi buruan penggemarnya. Warna kulitnya seakan-seakan buah anggur hitam.

Pokok dabai tumbuh subur di kawasan berbukit yang bertanah lembap. Ia boleh membesar dengan ketinggian maksimum sembilan hingga 15 meter dan mempunyai banyak cabang.

Pokok ini juga tumbuh subur di kawasan lapang yang mempunyai pancaran matahari yang kuat, boleh ditanam dengan biji benih.

Ia mudah dijaga berbanding tanaman lain. Sedikit perhatian perlu diberikan ketika proses penanaman di peringkat awal. Pohon yang masih muda agak sensitif dan mudah terdedah penyakit tanaman.

Hanya sedikit pokok didapati bermasalah, mungkin kerana benih tidak subur, serangan penyakit dan kedudukan pokok yang tidak strategik.

Pokok dabai ada jantina yang hanya dapat diketahui selepas ia berusia lima tahun. Pokok jantan mempunyai bunga yang lebih kecil dan jarang berbuah. Jika berbuah sekalipun, kebanyakan buahnya kecil. Namun bagi pokok betina pula, bunganya lebih banyak dan besar. Buahnya pula lebih lebat.

Buah yang dipetik dari pokok perlu direndam dalam air suam sekitar 15 minit untuk tujuan melembutkan isinya sebelum dimakan. Setelah isinya lembut, buah ini kebiasaannya dimakan bersama gula atau kicap.

Dabai perlu dimakan dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas dipetik. Buah ini akan mengeras, mengecut dan tidak boleh dimakan jika dibiarkan terlalu lama.

Buah dabai turut dijadikan beberapa jenis produk seperti buah dabai beku, jus dabai, mayonis dabai, halwa dabai (dabai yang diawet), sos dabai dan bahan perasa seperti pes dabai.

Buah ini mengandungi 22 peratus lemak, 3 peratus protein, 9 peratus karbohidrat dan 15 peratus fiber.

Buah dabai mengandungi kandungan antioksidan yang tinggi, terutamanya di bahagian kulitnya. Warna ungu gelap kulit buah dabai ini menunjukkan satu kali ganda kandungan antioksidan lebih tinggi berbanding isinya. Kandungan antioksidan yang tinggi mampu melawan penyakit dan risiko kanser.

Kajian terhadap minyak yang diekstrak dari buah dabai ini mendapati minyak ini mempunyai kesan pencegahan terhadap risiko penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung dan hiperkolestrolemik.

Kajian membuktikan jika kita mengamalkan pemakanan buah dabai mampu menyeimbangkan paras kolesterol dalam darah lantas mengurangkan risiko penyakit jantung.

Penyelidikan saintifik ke atas dabai mendapati, selain mengandungi sumber protein, tenaga dan mineral seperti potassium dan kalsium, buah ini juga kaya dengan kandungan antioksida yang berkhasiat untuk tubuh badan.

Buah dabai berpotensi dijadikan bahan utama dalam pengeluaran produk makanan serta kosmetik.



No comments:

Post a Comment