Wednesday, 25 June 2025

FUNGSI PIHAK BERKUASA TEMPATAN

 
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah badan perundangan yang ditubuhkan untuk mengurus dan mentadbir kawasan tertentu di Malaysia. Mereka bertanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan awam, mengawal selia pembangunan, dan memastikan kesejahteraan masyarakat di kawasan masing-masing. 
 
Dalam Perlembagaan Malaysia, PBT adalah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, tetapi dari segi perundangan, ia adalah tertakluk di bawah Kerajaan Persekutuan.
 
Kuasa mentadbir dan menguruskan PBT secara langsung terletak pada Kerajaan Negeri. Ini bermaksud setiap PBT, seperti Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, berada di bawah pengawasan dan bidang kuasa Kerajaan Negeri Kelantan. 
 
PBT bertanggungjawab untuk mentadbir dan menguruskan hal ehwal tempatan dalam kawasan masing-masing, termasuk perancangan bandar, pengurusan lalu lintas, lesen perniagaan, dan lain-lain. 
 
PBT berfungsi menyediakan perkhidmatan awam seperti penyediaan stesen bas, pengumpulan sampah, penyelenggaraan jalan, sistem perparitan dan kemudahan awam lain.
 
PBT juga berperanan sebagai pengawalan pembangunan seperti memberikan kebenaran perancangan untuk pembangunan tanah dan bangunan, memastikan pembangunan selaras dengan peraturan dan pelan tempatan.
 
Fungsi lain PBT akag penguatkuasaan undang-undang kecil yang dikuatkuasakan di sesuatu kawasan seperti menguatkuasakan undang-undang kecil berkaitan kebersihan, kesihatan, dan ketenteraman awam di kawasan mereka.
 
Merancang dan melaksanakan pembangunan fizikal dan ekonomi di kawasan mereka, termasuk pembangunan perumahan, perindustrian, dan komersial juga menjadi tanggungjawab PBT.
 
Tidak kurang penting, tugag PBT adalah menyediakan dan menyelenggara kemudahan awam seperti taman permainan, padang awam, dan dewan orang ramai. 
 
PBT terbahagi kepada beberapa kategori seperti: 
- Dewan Bandaraya: Untuk kawasan bandar utama.
- Majlis Perbandaran: Untuk kawasan bandar yang lebih kecil.
- Majlis Daerah: Untuk kawasan luar bandar.
 
Secara ringkas, PBT adalah institusi penting dalam pentadbiran negara yang bertanggungjawab memastikan kesejahteraan dan pembangunan mampan di peringkat tempatan. 

No comments:

Post a Comment