Monday 30 September 2024

BUAH SAGU RASA KELAT MANIS

 
Buah sagu atau buah rumbia boleh dimakan. Rasanya kelat manis. Pun begitu, tidak banyak orang pernah makan buah sagu. Mungkin kerana buahnya sukar diperoleh, melainkan di kawasan terdapat banyak pokok sagu.
 
Kalau setakat ada sepohon, memang kena tunggu berbelas tahun baru pokok itu berbuah sekali. Pokok sagu matang akan berbunga. Tempoh matang bergantung kepada kesuburan tanah. Secara purata, pokok sagu matang apabila menjangkau umur 12 hingga 13 tahun di tanah mineral dan 15 hingga 18 tahun di tanah gambut.
 
Pokok rumbia mengeluarkan jambak bunga yang menghasilkan banyak bunga jenis dwiseks dan kemudian akan mengeluarkan buah rumbia. Bunga adalah jenis ‘protandrous’ di mana bunga jantan akan menjadi matang dahulu daripada bunga betina. Ini bagi memastikan pendebungaan kacuk (cross pollination) akan berlaku.
 
Tempoh pokok rumbia berbunga sehingga menghasilkan buah yang matang mengambil masa kira-kira dua tahun. Selepas itu pokok itu akan mati. Dengan kata lain, kita dapat mengetahui pokok itu akan mati apabila tamat masa berbunga dan mengeluarkan buah yang akan menjadi benih.
 
Buahnya bulat, seukuran bola golf dan bersisik seperti salak. Ketika matang, warna kulit buahnya kecokelatan. Isi buahnya sangat lembut.
 
Sepohon pokok rumbia boleh menghasilkan buah sehingga mencapai melebihi 100 kilogram. Rasa buah sagu kelat manis. Biasanya buah sagu akan diperam atau direndam di dalam selut selama dua tiga hari untuk mengurangkan rasa kelat. Buah yang diperam boleh dimakan begitu sahaja.
 
Buah rumbia juga boleh dijeruk menggunakan air garam beberapa hari tanpa dibuang kulitnya. Kalau ingin dijeruk dengan air gula putih atau gula melaka, kulitnya dibuang terlebih dahulu.
 
Rasanya yang kelat masam memang digemari wanita mengandung. Buah satu dimakan secara terus, dicicah colek atau dijadikan sebahagian bahan membuat rojak.
 
Buah sagu dikatakan dapat meredakan penyakit gastrik dan cirit birit..

 




No comments:

Post a Comment