Syaitan akan mengganggu dan menggoda sesiapa sahaja. Diriwayatkan
Nabi Musa pernah didatangi syaitan dan berlakulah dialog berikut.
Syaitan berkata: “Wahai Musa, engkaulah yang dipilih Allah
untuk membawa risalah-Nya dan engkaulah yang sentiasa berkata benar. Aku
salah satu makhluk berdosa dan ingin bertaubat. Mohonkanlah kepada Tuhan
agar diberikan taubat kepadaku.”
Lantas Nabi Musa memohon kepada Allah SWT dan diperkenankan,
lalu baginda menemui syaitan. Kata Nabi Musa: “Hai syaitan, engkau
diperintahkan sujud hormat kepada kubur Nabi Adam dan selepas itu, barulah
taubatmu diterima Tuhan.”
Mendengar nama Nabi Adam, syaitan menjadi naik marah. Lalu
syaitan berkata: “Sewaktu Adam masih hidup, aku tidak sujud, inikan pula sudah
dia mati. Hai Musa, sesungguhnya engkau berhak menerima balasan daripada
aku kerana engkau sudah memohon syafaat kepada Allah buat pengampunanku. Namun,
ingatlah wahai Musa mengenai tiga perkara nescaya aku tidak membuat kebinasaan
ke atasmu.
Lantas Nabi Musa bertanya: “Apakah tiga perkara itu.”
Lalu syaitan menjelaskan: “Pertama, ingatlah ketika kau
sedang marah, aku akan membawa bisikan ke dalam hatimu. Mataku akan berada
dalam matamu dan aku berjalan dalam tubuhmu menurut perjalanan darah.”
Tambah syaitan lagi: “Ketika kau bertempur
di medan perang menghadapi musuh, aku akan datang mengingatkanmu
kepada anak, isteri dan keluarga agar berundur secara teratur.”
Untuk yang ketiganya, syaitan berkata: “Berhati-hatilah
duduk dengan perempuan yang bukan muhrim kerana aku akan menjadi penghubung
antara kau dan perempuan itu dan antara perempuan itu dengan engkau.”
Syaitan adalah musuh manusia yang nyata. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 208 yang maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata."
Untuk menghindari daripada terkena hembusan tipu daya
syaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Bacalah surah al-Falak dan surah
an-Nas tiga kali apabila kamu berada pada waktu pagi dan tiga kali apabila kamu
berada pada waku petang supaya kamu terpelihara dan terselamat daripada segala
bahaya bencana.” (Hadis riwayat Tirmizi, Abu Daud dan Nasai).
Baca juga:
No comments:
Post a Comment