Sikap individu yang cenderung meraih
populariti dengan cara ‘suka-suka cakap’ dan menjadi senjata memburuk-burukkan
pihak lain, sedangkan diri sendiri sentiasa kelihatan tidak sempurna akibat
lepas cakap.
Sesungguhnya individu berperibadi mulia
akan sentiasa mengucapkan perkataan yang baik dan memberi manfaat kerana tutur
kata yang baik diumpamakan seperti mutiara yang disukai semua orang. Tutur kata
yang baik menarik minat orang lain mendengarnya dengan perasaan yang ceria,
kagum dan mengiyakan.
Pertuturan yang baik menjadi lambang
ketulusan budi dan pekerti seseorang. Sesiapa sentiasa berkata perkara yang
benar dan disenangi orang lain, hidupnya dalam kesejahteraan.
Cara terbaik untuk menjaga lidah daripada
perkataan tidak baik ialah kurang bercakap atau bercakap perkara perlu saja
agar tidak terlepas cakap apabila terlalu banyak bercakap. Jika bertugas dalam
organisasi yang memerlukan kita banyak bercakap, maka bercakaplah dengan penuh
berhemah dan bijaksana.
Memang agak sukar untuk berdiam diri terutama
ketika berada dikelilingi ahli keluarga, kawan dan rakan setugas kerana khuatir
dikatakan sombong, tidak pandai bergaul dan antisosial.
Oleh sebab itu, cubalah membina keyakinan
diri dan kebiasaan yang baik ketika bercakap agar perkataan yang diucapkan itu
tidak mendatangkan kesan buruk.
Nenek moyang mengajar agar sentiasa berbudi
bahasa, biarpun terhadap seseorang yang ingin ditegur kesilapannya atau orang
buruk pekertinya. Orang Melayu biasanya menggunakan bahasa kias untuk menegur
atau memperkatakan sesuatu yang tidak pasti.
Bahasa kias bermakna perkataan disebutkan
tidak terus membawa maksud kepada apa hendak diucapkan. Sebaliknya bahasa
kiasan amat kuat kesan di sebaliknya, selain terserlah keindahan dan
kesopannannya. Jadi, orang yang ditegur tidak terasa hati atau mendatangkan aib
walaupun sedar perkataan itu ditujukan kepadanya.
Yang kurid itu kundi, yang merah itu saga,
yang cantik itu budi yang indah itu bahasa. Oleh hal demikian, masyarakat perlu
mementingkan penggunaan bahasa sopan di semua peringkat terutama bagi individu
bergelar pemimpin kerana mereka sentiasa menjadi perhatian rakyat dan menjadi
ikutan ramai.
Dalam budaya kita, anak-anak sentiasa diajar dan diingatkan agar bersopan
santun dalam bertutur.
Aspek ini diberi perhatian sejak anak masih
kanak-kanak kerana ia menjadi antara asuhan budi paling penting diterapkan di
dalam diri kanak-kanak. Kanak-kanak yang terbiasa dengan percakapan yang baik
akan terus menggunakannya sehingga dewasa.
Sesungguhnya, penggunaan bahasa sopan
bermaksud tanda hormat terhadap orang yang dilawan bercakap atau
mendengarnya.
Sifat hormat menghomati adalah banyak
kebaikannya kerana dapat mengelak salah faham dan perasaan tidak senang pihak
lain.
Elakkan kesusahan menimpa diri disebabkan
perkataan buruk yang diucapkan. Sepatah perkataan yang diucapakan dapat membawa
kepada kerugian dan penyesalan seumur hidup.
Kata pepatah, ‘kata itu lebih tajam
daripada mata pedang’ dan ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata
merosakkan badan’.
Gambar buah gomok sekadar hiasan.
No comments:
Post a Comment