Tuesday 4 June 2024

KESAN TRAUMA ZAMAN KANAK-KANAK

 
Hakikat kanak-kanak dapat mengingati kejadian semasa kecil sewaktu usia 0 hingga tujuh tahun, bukan mitos kerana tempoh berkenaan ialah proses pembentukan blue print dalam perkembangan kanak-kanak.
 
Sebab itu, ibu bapa perlu berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan atau perbuatan yang bersifat negatif atau tidak wajar dilihat oleh kanak-kanak. Apa yang mereka lihat pada ibu bapa akan menjadi reaksi atau tindak balas sama ada dari sudut pemikiran, tingkah laku dan emosi.
 
Dari sudut psikologi disebut adverse childhood experiences (ACE) perkara ini berlaku apabila kesan itu terlalu lama disimpan yang menekan emosi seseorang itu yang akan menimbulkan kesan sampingan jangka panjang kepada seseorang.
 
Perkara itu akan memberi kesan pada jangka masa panjang seperti akan ada ingat kembali, pemikiran tidak puas hati, tekanan perasaan dan pergolakan emosi yang sebenarnya membawa kesan kepada perkembangan kanak-kanak ini pada peringkat remaja, dewasa sehinggalah tua yang akan memberi impak kepada segi berfikir, bersosial serta tingkah laku.
 
Trauma juga boleh berlaku dalam kepelbagaian sistem atau istilah psikologi disebut Systemic Trauma apabila kanak-kanak yang terabai tidak mendapat keperluan asas sebagai kanak-kanak seperti tempat perlindungan, makanan dan pakaian disebabkan faktor kemiskinan.
 
Contohnya, kanak-kanak terbiar atau gelandangan, apabila tiba waktu malam mereka akan berasa resah kerana selepas bangun pagi keesokannya benda pertama akan difikir adalah ada atau tidak makanan untuk hari ini dan ia mengganggu fikiran, menyebabkan keresahan yang melampau dan berulang, sukar untuk tidur pada waktu malam dan kehidupan yang penuh kekecewaan diabaikan serta disingkirkan.
 
Hal ini kerana setiap hari akan berasa lapar dan perkara ini memberi tekanan atau stres kepada kanak-kanak yang sepatutnya kita sebagai orang dewasa menyediakan perlindungan kepada mereka.
 
Apabila kanak-kanak ini tertekan disebabkan oleh ketiadaan keperluan asas ini, otak mereka akan dilitupi oleh hormon kortisol, hormon stres yang boleh mengganggu perkembangan otak seterusnya perkembangan kognitif, emosi, sosial dan fizikal.
 
Kesan daripada itu, kanak-kanak berkenaan akan membesar tanpa kasih sayang dan keperluan asas yang mengakibatkan mereka bertindak agresif seperti mencuri, memukul dan berbahasa kasar.
Perkataan “trauma” berasal daripada perkataan Greek iaitu wound atau"luka" yang berlaku dalam diri seseorang itu sebagai kesan daripada situasi yang dihadapi.
 
Terdapat hubung kait antara trauma kanak-kanak dan penyakit mental terbukti seperti perkaitan antara menghisap rokok dan kanser paru-paru.
 
Bagi mengelakkan perkara itu berlaku ibu bapa perlu cakna mengenai trauma, kenal pasti emosi anak-anak, empati dan jangan lepas emosi itu kepada anak-anak, perhati tingkah laku anak-anak sekiranya berlaku perubahan yang drastik dan berlainan daripada biasa.
 
Trauma ini adalah rakan toksik dalam badan yang sukar untuk dilupakan, bagaimanapun dengan rawatan yang sewajarnya kita boleh mengendali trauma itu lebih baik. Antara rawatan trauma kanak-kanak ialah terapi kognitif tingkah laku fokus pada trauma, terapi bermain, terapi keluarga dan terapi ekspresif.

No comments:

Post a Comment