Friday 21 July 2023

APA HUKUM MEMBERI DAGING KORBAN TELAH DIMASAK

 
Para ulama Syafi’iyyah telah menetapkan bahawa hukum melakukan ibadah korban ialah sunat muakkad secara kifayah bagi ahli-ahli di dalam sebuah keluarga. Justeru, ia sangat digalakkan bagi sesiapa yang berkemampuan dalam sesebuah keluarga untuk menyertai ibadah korban dengan bahagian yang tertentu.
 
Apabila salah seorang daripada anggota keluarga telah menyertai ibadah korban, maka sudah memadai bagi semua ahli keluarga dengan mendapat pahalanya. (Rujuk Tawsyih ‘ala Ibn Qasim: 527)
 
Para ulama’ telah menetapkan bahawa daging korban wajib disedekahkan kepada golongan fakir miskin dalam keadaan mentah, dan bukannya yang telah dimasak atau dikeringkan. 
 
Berkenaan ini, al-Sheikh Muhammad Ibn Ahmad al-Syathiri di dalam kitabnya Syarh al-Yaqut al-Nafis menyebutkan: “Sahnya daging korban itu adalah dengan disedekahkan dalam keadaan mentah, apa yang tidak rosak, daripada daging korban yang sunat. (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: 828)
 
“Tidak memadai untuk memberi sedekah daging korban tersebut dalam keadaan sudah dimasak atau sudah dikeringkan (diawet dengan garam). (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: 828)
 
Begitu juga dalam Hasyiah al-Bajuri, al-Sheikh Ibrahim al-Bajuri menyebutkan bahawa:
“Disyaratkan bagi daging korban tersebut untuk disedekahkan dalam keadaan mentah supaya dapat dimanfaatkan bagi sesiapa yang menerimanya mengikut apa yang dikehendaki olehnya sama ada menjualnya atau seumpamanya, sepertimana sama juga dalam bab kafarah. Justeru itu, tidak memadai memberi sedekah dengan menjadikannya sebagai makanan yang dimasak kemudian diajak golongan fakir miskin untuk memakannya. (Rujuk Hasyiah al-Bajuri, 2:567)
 
Oleh itu, jelas kepada kita bahawa daging korban wajib diberikan sebahagian daripadanya sebagai sedekah dalam keadaan mentah, dan bukannya dimasak dan dijamukan.
 
Walaubagaimanapun, para ulama tidak menetapkan kadar tertentu bagi sedekah yang wajib daripada haiwan korban tersebut, bahkan dibolehkan untuk memberi sedekah walaupun dengan kadar sedikit sahaja. 
 
Berkaitan hal ini, Imam Khatib al-Syarbini menyebut di dalam kitabnya Mughni Muhtaj bahawa: “Pendapat yang paling sahih ialah wajib untuk memberi sedekah sebahagian daripadanya walaupun pada kadar yang sedikit daripada daging tersebut sekira-kira boleh dinamakannya sebagai sedekah, kepada golongan fakir miskin. (Rujuk Mughni Muhtaj, 4: 387-388)
 
Berdasarkan pandangan di atas, boleh dikatakan tidak boleh untuk dimasak dan dijamukan kesemua daging korban, bahkan wajib untuk disedekahkan sebahagian daripadanya dalam keadaan mentah kepada golongan fakir miskin. 
 
Tentang, kadar sebahagian itu tidak ditetapkan, bahkan boleh diberikan dalam kuantiti yang sedikit dan kepada seorang sahaja daripada golongan fakir miskin. Manakala, daging korban yang berbaki daripada apa yang telah disedekahkan tersebut, bolehlah dimasak dan diadakan kenduri untuk dijamu kepada orang ramai.

No comments:

Post a Comment