Thursday, 9 June 2022

CARA BERMAIN DAM AJI

  
Permainan dam atau dam haji diminati di kalangan masyarakat Melayu. Permainan tradisional ini dimainkan secara satu lawan satu. Terdapat dua jenis permainan dam yang popular iaitu dam aji dan aji terbang. 
 
Alatan diperlukan untuk kedua-dua permainan ini adalah papan dam dan juga buah dam. Papan dam berbentuk empat segi sama dilukis di atas kertas atau dibuat lorekan terus di atas sekeping papan. Terdapat 64 petak empat segi sama kesemuanya. 
 
Buah dam pula terdiri daripada penutup botol, kulit kepah, serpihan bata atap yang kecil ataupun kulit etak. Setiap pemain memerlukan 12 biji buah yang sama dari segi bentuk atau warna. Buah itu mesti berbeza dengan lawan sama ada dari segi warna atau bentuk  
 
Sebelum memulakan permainan, undian secara ‘wan to som’ perlu dilakukan bagi penentuan giliran pemain. Pemain yang memenangi undian akan memulakan permainan terlebih dahulu. 
 
Permainan ini dimainkan dengan cara menggerakkan buah dam setapak ke hadapan iaitu secara mengiring sama ada ke kiri-depan atau ke kanan-depan. 
 
Pemain tidak dibenarkan menggerakkan buah miliknya ke belakang. Hanya status buah aji sahaja boleh menggerakkan buahnya ke arah belakang. Buah dianggap telah ‘naik aji’ setelah sempai ke tapak paling ‘tinggi’ dipandang dari kedudukan pemain. 
 
Tiada tempoh masa dihadkan untuk permainan ini. Permainan berterusan sehingga buah mana-mana pemain habis dimakan oleh lawan atau ada pihak mengaku kalah. 
 
Bagaimanapun ia dianggap ‘seri’ dengan persetujuan pemain apabila dirasakan tidak ada kesudahan yang tidak dapat ditentukan pemenang. 
 
Pemain memegang permainan boleh 'makan' buah lawan jika berada berhampiran buah lawan dan ada petak kosong di hadapan untuk dia 'melompat'.

No comments:

Post a Comment