Sunday, 19 June 2022

CARA AGIH KEKAYAAN NEGARA UNTUK SEMUA KAUM

  
Dasar-dasar kerajaan tidak pernah menyekat mana-mana kaum untuk memiliki dan menguasai kekayaan asalkan dilakukan mengikut lunas undang-undang. Malaysia untuk seluruh rakyat tanpa mengira agama anutan dan bangsa. 
 
Dalam memacu ekonomi negara, kerajaan memperkenal pelbagai dasar sejak negara mencapai kemerdekaan. Antara dasar paling berkesan adalah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan melaksanakan program penstrukturan semula masyarakat. 
 
Melalui dasar ini juga kita telah berjaya mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kemiskinan dan menangani penguasaan ekuiti asing dalam ekonomi negara. 
 
Gagasan dasar itu juga menetapkan sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus sekurang-kurangnya, dan penyertaan Bumiputera digalakkan dalam setiap sektor ekonomi. Dasar ini dibentuk agar ekonomi berkembang dan pengagihan berlaku secara adil dan saksama. 
 
Atas sifat bertimbang rasa dan semangat supaya kek ekonomi dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia, orang Melayu pada waktu itu tidak bersifat keterlaluan untuk meminta lebih daripada 30 peratus. 
 
Walaupun sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera tidak tercapai, namun alhamdulillah, DEB telah berjaya mengagihkan kekayaan negara kita secara lebih saksama serta meningkatkan pendapatan kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera. 
 
Tuduhan bahawa DEB kononnya satu dasar keterbelakang, menyekat pelaburan, menyebabkan brain drain dan hanya menguntungkan segelintir pihak yang ada kabel politik adalah tidak benar. 
 
Tuduhan meleset ini hanya dicipta oleh mereka yang sarat dengan kebencian. Banyak kajian ilmiah yang menunjukkan bahawa semua kaum mendapat manfaat daripada pelaksanaan DEB. 
 
DEB telah memberi manfaat kepada semua kaum dari segi pembasmian kemiskinan, peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan, pemilikan ekuiti dan lain-lain. 
 
DEB telah mencapai sebahagian matlamat pengagihan ekonomi dan menyamaratakan peluang. Namun, masalah ketirisan memberikan kesan negatif kepada pencapaian matlamat asal DEB.

No comments:

Post a Comment