Sunday, 29 July 2018

CABARAN BERAT DIHADAPI BANGSA MELAYU

Entah mengapa sejak kebelakangan ini sudah timbul ‘keberanian’ luar biasa daripada pelbagai pihak untuk mempertikaikan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Antara perkara yang semakin lantang menjadi perdebatan atau perbahasan ialah mengenai Perkara 153 berhubung keistimewaan orang Melayu. Walaupun pihak-pihak yang berbuat demikian amat memahami ia sesuatu yang sensitif namun mereka tidak mempedulikan itu semua.

Sebaliknya satu demi satu hujah mereka keluarkan bagi menggugat apa yang sudah terpahat dalam Perlembagaan. Persoalannya wajarkah perkara seumpama itu terus menjadi pertikaian? Tidakkah ia sepatutnya dihormati memandangkan ia adalah satu Perlembagaan negara? 

Apa yang terjadi sekarang kerana orang Melayu dilihat lemah. Malah, kegagalan orang Melayu untuk berhujah mengenai intipati apa yang terkandung dalam Perlembagaan juga menjadi punca pihak lain mampu mempertikaikan apa yang sudah diperuntukkan.

Selain itu, sikap generasi baru yang mahu memperjuangkan kesamarataan antara kaum juga turut menyebabkan segala yang ditetapkan oleh Perlembagaan mengenai orang Melayu semakin ‘terancam’. 

Kalau kita mengkaji sentimen sesetengah pihak pada masa ini ia memang menunjukkan mereka mahu melihat apa yang ada dalam Perlembagaan dan kemudian mempertikaikan kewujudannya tanpa mahu memahami kenapa ia diwujudkan. Apa yang sepatutnya orang ramai lakukan ialah bertanya kenapa sesuatu perkara dalam Perlembagaan itu diwujudkan, contohnya dalam soal hak keistimewaan orang Melayu yang terkandung dalam Perkara 153.

Kalau melihat sejarah bangsa kita dan pembentukan Perlembagaan sesetengah perkara itu harus diterima, ertinya tidak boleh dirobek atau diubah semata-mata untuk mengikut perubahan semasa. Dalam demokrasi ada ruang bagi membolehkan perkara dalam Perlembagaan diperbincangkan tetapi bukan sampai ke tahap yang boleh menggugat Perlembagaan itu sendiri. Ini termasuklah perbincangan yang menjurus ke arah provokasi seperti hendak membuang peruntukan Perlembagaan yang sedia ada. 

Kalau kita mengkaji Suruhanjaya Reid, ia mengatakan kalau kita mengambil hak Melayu secara tidak terancang ia boleh meruntuhkan pembinaan bangsa dan negara. Atas sebab itu saya tidak bersetuju jika ada pihak mengatakan bahawa Perkara 153 memberi kelebihan melampau kepada orang Melayu.

Ini kerana sistem tersebut mesti bergerak dengan hak-hak munasabah terhadap bangsa lain. Suruhanjaya Reid merujuk salah satu terma Perlembagaan ialah menjaga kedudukan Melayu dan Islam serta menjaga hak-hak munasabah terhadap bangsa lain, jadi apabila kita menjaga kepentingan Melayu ini tidak bermakna kita mengabaikan bangsa lain. Untuk membina sebuah negara yang aman dan damai serta mewujudkan kestabilan politik kita memerlukan kesaksamaan dan keadilan. 

Mengikut Perlembagaan orang Melayu diberi sedikit kelebihan atau keistimewaan tetapi dari segi aplikasinya mungkin tidak begitu ketara. Adalah tidak adil untuk mengatakan orang Melayu mendapat segala-galanya. Cuba lihat siapa yang mengawal ekonomi kita?

Kalau kita mengkaji laporan Suruhanjaya Reid mengenai Perlembagaan, kelebihan kepada orang Melayu diberikan sejak 1948. Pada tahun itu, orang British sendiri tidak pernah menyentuh soal Melayu dan Islam. Ini kerana ia menjadi subjek yang terlalu sensitif kepada British. Namun dalam masa yang sama terdapat terma bahawa bangsa lain tidak diabaikan.

Punca utama kerana orang Melayu tidak pandai berhujah, kita tidak memahami sejarah sendiri. Kelemahan orang Melayu sekarang ialah tidak memahami kenapa diwujudkan keistimewaan dalam Perlembagaan. Atas sebab itulah kalau kita lihat ada di kalangan orang Melayu sendiri menentang Perkara 153. 

Kalau kita merujuk pembinaan bangsa, adalah jelas semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum berhak untuk merasa bangga menjadi rakyat negara ini tetapi ia tidak bermaksud kepentingan Melayu harus dilunturkan. Kita memahami sejarah menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara yang dianggotai oleh pelbagai bangsa tetapi kita tidak boleh mengenepikan kerangka asas pembinaan negara ini iaitu orang Melayu.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa- apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

No comments:

Post a Comment