Sunday, 29 July 2018

PEMAHAMAN MENGENAI PERLEMBAGAAN

Seharusnya kita memberi pemahaman kepada bangsa lain kenapa terdapat peruntukan tertentu mengenai Melayu dan Islam dalam Perlembagaan. Dalam soal Perkara 153 bukan mudah ia ditarik begitu sahaja. Ini kerana ia mempunyai hubung kait dengan peruntukan-peruntukan lain seperti keistimewaan raja-raja.

Kalau soal Melayu hendak ditarik balik apa yang raja ada lagi? Sedangkan institusi raja-raja bertanggungjawab terhadap dua perkara iaitu Melayu dan Islam. Institusi raja-raja dibentuk oleh Perlembagaan dengan tujuan mewujudkan kestabilan politik. Tetapi kalau soal Melayu ditarik dalam Perkara 153, ertinya raja pun tidak akan wujud.

Keadaan itu kalau berlaku sudah tentulah akan menjejaskan kestabilan politik negara. Bagaimanapun kalau boleh soal mengenai Melayu ini tidaklah dibincangkan dalam suasana terlalu panas atau penuh provokasi. Tetapi dalam masa yang kita sudah tidak mampu menyembunyikan segala-galanya di bawah karpet. Masyarakat kita sudah mengetahui isi kandungan Perlembagaan. Oleh itu orang Melayu terutama pemimpin kita harus pandai berhujah dan memahami Perlembagaan tanpa sentimen politik.

Kita harus pisahkan antara isu politik dengan isu Perlembagaan. Kita perlu berbincang soal Perlembagaan secara akademik dan intelektual bukan provokasi. Semakin banyak peruntukan Perlembagaan mengenai orang Melayu diganggu gugat. Dahulu ia bermula dengan Perkara 152 iaitu mengenai bahasa Melayu dan sekarang Perkara 153 pula.

Kalau pencabulan ini terus dibiarkan, ia akan menyebabkan porak peranda kerana sistem pentadbiran negara dan kestabilan politik akan terancam.

Membiarkan peruntukan-peruntukan itu dibincangkan secara provokatif mendatangkan masalah lebih besar. Dalam soal ini pemain harus memastikan peruntukan itu dijalankan sebagaimana yang dimaksudkan dalam Perlembagaan. Selain itu, mereka juga harus memantau sejauh mana peruntukan itu dilaksanakan.

Para pemain dalam sistem ini perlu berubah dan melihat balik apa yang mereka buat itu bertepatan dengan tujuan atau objektif Perlembagaan atau tidak. Ini bagi mengelakkan Perlembagaan hanya menjadi kosmetik.

Kalau Perlembagaan itu hendak dihormati ia harus dilaksanakan, masalahnya tidak ada penguatkuasaan jika ia dilanggar. Walaupun Perlembagaan bukanlah kanun keseksaan tetapi kita sudah membina satu konvensyen atau adat Perlembagaan yang harus dihormati.

Atas sebab itu kita memerlukan penguatkuasaan yang tegas ke atas pencabulan Perlembagaan. Kalau kita dilihat lemah dalam soal ini sudah pasti ada pihak yang akan melakukan provokatif untuk menolak apa-apa yang termaktub dalam Perlembagaan.

Tidak dapat dinafikan bahawa generasi baru memperjuangkan kesamarataan. Perjuangan itu perlu dilandaskan kepada asas Perlembagaan. Semua rakyat mendapat haknya mengikut selayaknya. 

Adakah asas kesamarataan itu menjadi benda yang kukuh? Kenapa kita analogi sistem kesamarataan kita dengan barat. Apa yang ada di negara kita terlalu unik. Sepatutnya kita pergi kepada keadilan bukan kesamarataan.

Faktor utama yang menyebabkan kekeliruan ini berlaku kerana orang tidak faham apa konsep keadilan dalam sistem Perlembagaan kita. Kalau hendak bagi semua orang sama rata itu tidak adil. Lihatlah sejarah bangsa mana-manapun sudah pasti ada sesetengah golongan harus diberi keutamaan.

Apa yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang Melayu tidaklah melampau. Jadi tidak perlulah lagi dipersoalkan mengenai hak keistimewaan orang Melayu ini. Mereka yang membangkitkan isu berkenaan mempunyai agenda politik.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa- apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

No comments:

Post a Comment