Sunday, 29 July 2018

GELOJOH MIMPI JAWATAN LEBIH TINGGI

Pakar motivasi percaya individu yang ingin berjaya perlu mempunyai impian yang biasa disebut sebagai matlamat atau cita-cita. Mempunyai cita-cita biasanya disebut sebagai ambitious. Dalam semua keadaan, iaitu sekiranya kita ingin mencapai kejayaan, perlu ada cita-cita dalam diri yang menjadi hala tuju atau penentu kepada landasan tindakan bagi mencapainya.

Dunia politik agak berbeza bentuk cita-citanya. Biasanya, apabila individu terjun dalam bidang politik, matlamat atau cita-citanya bukan kerana dia ingin menjadi ketua politik yang kelak mendapat nama, pangkat dan kuasa, sebaliknya istilah popular daripada mulut kebanyakan orang politik ialah berkhidmat untuk rakyat.

Rupa-rupanya sikap bercita-cita besar dalam politik begitu berbahaya kerana aura daripada sikap itu boleh menimbulkan tekanan yang secara tidak sedar turut meretakkan landasan perjalanan yang kononnya berkhidmat untuk rakyat.

Apabila dikaitkan sikap ambitious dengan gelora politik semasa, nampaknya parti politik di negara kita sedang menghidapi sindrom ini. Amalan lompat parti semakin menjadi-jadi. Di mana ada peluang kepentingan peribadi terhidang, maka terus masuk parti baru. Penyokong setia selama ini ditinggalkan terkapai-kapai.

Masing-masing ada cita-cita tersendiri. Sungguhpun begitu, ambitious, sedikit sebanyak mendatangkan ketidakstabilan politik negara, selain melencongkan matlamatnya daripada matlamat asal untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sudah tentu, sikap ambitious di kalangan mereka yang ingin bertanding sentiasa membara. Ini biasa berlaku namun, sesiapa pun harus matang dengan mengambil kira pengalaman lampau.

Politik wang, ampu dan melobi adalah kesan daripada sikap ambitious yang tidak mampu dikawal ahli. Apa yang dibimbangkan apabila sikap ambitious di kalangan ahli akan merosakkan parti dan negara.  

Disebabkan gelojoh terhadap kedudukan dalam parti sesebuah parti hancur hanya disebabkan sikap ahlinya. Ada yang menawarkan diri bertanding jawatan tertentu sekadar ingin menjatuhkan pemimpin sedia ada.  

Setiap ahli politik perlu mengikis sikap ambitious yang keterlaluan. Rakyat dan negara perlu diberi keutamaan lebih daripada polemik dalam politik. Ahli politik perlu berusaha mengurangkan polemik yang ada sebaliknya lebih memberi fokus kepada pembangunan untuk kepentingan rakyat.

No comments:

Post a Comment