Sunday, 29 July 2018

Serondeng terkenal di Kelantan

Serondeng cukup terkenal di Kelantan. Banyak pengusaha serondeng yang menghasilkan serondeng yang bukan sahaja untuk pasaran di Kelantan, bahkan juga dihantar untuk pasaran luar Kelantan. 
 
Serondeng merupakan sejenis masakan daripada siatan daging, ayam, ikan dan sebagainya yang dimasak bersama santan dan rempah-rempah sehingga kering agar tahan lama. 
 
Serondeng dimasak dan dikacau tanpa henti hingga betul-betul garing atau kering kerana dengan cara itu ia akan tahan lama. Serondeng atau dalam dialek Kelantan dipanggil 'sambal' yang dimasak kering boleh disimpan lama hingga satu tahun. 
 
Selain dimakan bersama nasi sebagai 'perisa', serondeng juga dijadikan inti untuk beberapa jenis kuih, terutamanya ketupat bucu atau ketupat palas. Selain itu ia juga dicampurkan ke dalam bubur, oak dan makanan dalam bentuk cair atau lembik. 
 
Di Kelantan, antara lokasi penghasilan serondeng terkenal ialah di Kampung Kubur Maras, Kota Bharu dan Kampung Laut Tumpat.  
 
Kampung Kubur Maras adalah lokasi awal penghasilan serondeng di Kelantan. Kemudian ia berkembang ke lokasi lain, terutama di Kampung Laut yang kini menjadi kawasan utama penghasilan serondeng di Kelantan. Terdapat lebih 50 pengusaha serondeng di Kampung Laut.

Serondeng Kampung Laut cukup terkenal. Ia kini menjadi antara produk popular dijadikan buah tangan di kalangan pelancong yang berkunjung ke Kelantan. Malah, Kampung Laut manjadi salah satu lokasi kunjungan pelancong ke Kelantan.
 
Selain itu terdapat juga pengusaha serondeng di Machang dan Pasir Mas yang tidak kurang juga terkenal menghasilkan serondeng terbaik. 
 
Setiap pengusaha serondeng memang ada resipi masing-masing. Namun, tidak banyak beza antara satu sama lain.  
 
Selain, menggunakan ramuan berbeza, satu lagi ciri perbezaan serondeng ialah sama ada ia dalam keadaan garing, kering atau lembab.  
 
Serondeng garing adalah kering sepenuhnya. Teksturnya seakan-akan hancur. Boleh disimpan lebih lama. 
 
Serondeng kering tidaklah kering sepenuhnya. Masih ada kelembapan dan teksturnya agak lembut. Boleh disimpan melebihi setahun.  
 
Manakala serondeng lembab dalam keadaan berminyak. Teksturnya agak lembut. Boleh disimpan sehingga 10 bulan.  
 
Ketiga-tiga jenis ada peminat mengikut cita rasa masing-masing. Sesuai untuk dimakan dengan nasi, dijadikan inti kuih mahupun dicampur dalam makanan jenis bubur.


No comments:

Post a Comment