Friday, 30 August 2024

CIK SITI WAN KEMBANG “GHAIB” DI GUNUNG AYAM

 
Cik Siti Wan Kembang merupakan legenda terkenal dalam sejarah kerajaan Kelantan. Baginda dikatakan memerintah Kelantan sekitar tahun 1610 Masihi hingga 1677 Masihi. Baginda menjadi watak utama dalam banyak pengkisahan sejarah Kelantan dan menjadi sosok tubuh kebanggaan rakyat Kelantan.
 
Walaubagaimanapun, masih belum ada bukti arkeologi yang jelas bagi membuktikan kesahihan dan kewujudan watak yang sentiasa berlegar-legar dalam hikayat klasik dan cerita rakyat terutama yang berlatar belakangkan masyarakat Melayu Kelantan.
 
Sebuah makam yang didakwa milik Cik Siti Wan Kembang di Kampung Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) ditolak oleh tokoh sejah sebagai makam pemerintah Kelantan. Sebaliknya, kubur itu mungkin milik orang lain yang juga bernama Cik Siti.
 
Cik Siti Wan Kembang dihikayatkan pernah memerintah sebuah negeri yang bernama "Negeri Taman Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayon” yang dikatakan terletak di Kampung Kedai Piah, Ketereh. Baginda memakai nama gelaran, Seri Maharaja Puteri.. Baginda telah diputerikan pada tahun 1580 Masihi.
 
Cik Siti Wan Kembang adalah puteri kepada Sultan Ahmad dengan ?Cik Banun Puteri Seri Nara Diraja. Sultan Ahmad mangkat pada 1561 Msihi, sewaktu Cik Siti Wan Kembang berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi pemangku raja sebagai pemerintah Kelantan.
 
Menurut buku Detik-detik Sejarah Kelantan karangan Sa'ad Shukri Haji Muda, apabila Raja Hussein mangkat pada tahun 1610 Masihi, maka Cik Siti Wan Kembang ditabal menjadi Raja Kelantan pada tahun yang sama. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Hulu Kelantan. .
 
Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti".
 
Baginda mempunyai seekor kijang yang amat disayangi.Gambar kijang ini telah diterap di atas wang emas dengan perbelanjaan negeri, dan kemudiannya diabadikan pula sebagai sebahagian daripada daripada lambang kebesaran negeri Kelantan yang berkekalan hingga ke hari ini.
 
Dalam masa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang memerintah di Gunung Chinta Wangsa itu, maka di sebelah timur laut negeri Kelantan telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, di bawah pemerintahan Raja Sakti pada 1638. Setelah baginda mangkat, maka puteranya Raja Loyor telah ditabal menjadi raja pada 1649. Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera yang mangkat sejak kecil lagi dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.
 
Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa, dengan Kerajaan Loyor di Jembal. Baginda Cik Siti Wan Kembang telah mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti, kerana baginda tidak mempunyai puteri ataupun putera sebab baginda tidak pernah berkahwin.
 
Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam yang menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin.
 
Buku Detik-detik Sejarah Kelantan menceritakan Cik Siti Wan Kembang telah membawa diri ke Gunung Ayam untuk beribadat menghambakan diri sepenuhnya kepada Allah dan kisah hidupnya tidak lagi diketahui.
 
Begitu juga tidak jelas mengenai tempat yang dikatakan Gunung Ayam itu. Ada pendapat mengatakan Gunung Ayam itu terletak di Jelawang, Dabong dan ada juga mendakwa Gunung Ayam itu terletak di Kuala Betis, Gua Musang.

Gambar - Gunung Ayam Kuala Betis

No comments:

Post a Comment