Saturday, 7 September 2024

HIKING GUNUNG AYAM KUALA BETIS

 
Di kalangan peminat aktiviti lasak kembara berjalan kaki (hiking) pasti akan sentiasa mencari destinasi baru untuk ditakluki. Mereka ingin mencari pengalaman baharu di tempat yang berlainan.

Salah satu lokasi hiking yang dicadangkan ialah Gunung Ayam di Kuala Betis. Perlu ditegaskan, gunung ini terletak di Hutan Simpan Kuala Betis, Gua Musang.

Di Kelantan ada dua Gunung Ayam iaitu pertama di Hutan Simpan Kuala Betis, Gua Musang dengan ketinggian 898 meter dari aras laut dan keduanya di Hutan Jelawang, Kuala Krai dengan ketinggian 1504 meter dari aras laut.

Kebiasannya, jika disebut Gunung Ayam, maka terbayanglah yang terletak di Jelawang, Dabong kerana ia sudah lama terkenal menjadi destinasi kembara berjalan kaki (hiking) di kalangan peminat aktiviti lasak. Gunung Ayam menjadi salah satu tiga puncak yang sering didaki di Jelawang, dengan dua lagi ialah Gunung Baha (1450 meter) dan Gunung Stong dengan ketinggian 1442 meter dari aras laut.

Malah di Jelawang terdapat air terjun tertinggi di Asia Tenggara iaitu Air Terjun Jelawang yang menjadikan ia destinasi paling popular di Kuala Krai.

Manakala Gunung Ayam di Hutan Simpan Kuala Betis pula baharu dikenali di kalangan mereka yang sentiasa ingin mencuba pengalaman berlainan. Dengan ketinggian kurang 1000 meter menjadikan ia boleh dilakukan dalam satu hari untuk ke puncak dan kemudian turun.

Pun begitu, berdasarkan pengalaman mereka yang pernah menawan puncak Gunung Ayam di Hutan Simpan Kuala Betis, cabaran yang perlu ditempuhi bukan alang-alang. Ia bukan bukan pendakian santai, tetapi terpaksa menempuh laluan curam yang mencabar.

Ini kerana biarpun Gunung Ayam tidak dikategorikan sebagai gunung batu kapur, tetapi ciri-ciri itu ada. Kata orang, laluan “lutut rapat ke dagu”. Laluan paling mencabar kira-kira sejam sebelum sampai puncak. Memang memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

Biarpun banyak tempat yang curam, untuk melepasinya tidak memerlukan kepada peralatan khas. Apa yang penting asalkan ada tenaga dan kecekalan, serta keberanian menempuh cabaran.

Aktiviti hiking secara berkumpulan biasanya akan berkumpul di Masjid Kuala Betis sebelum menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk menuju tempat mula yang jaraknya kira-kira 14 kilometer. Masa hiking bermula sekitar 08.00 pagi dan berakhir di tempat yang sama sekitar pukul 06.00 petang.

Jika di Gunung Ayam di Dabong ada air terjun tertinggi di Asia Tenggara, di Gunung Ayam di Kuala Betis juga ada air terjun menarik yang dikenali Air Terjun Tegap. Maka bolehlah menikmati kedinginan air bukit sambil berehat dalam perjalanan turun.

Sebenarnya Gunung Ayam Hutan Simpan Kuala Betis telah lama menarik minat ahli geologi membuat kajian. Gunung tersebut mempunyai tarikan kerana bentuk puncak yang mendatar. Ia dikaitkan dengan keadaan sebuah gunung di negara Venusuela iaitu Gunung Roraima.

Puncak yang mendatar itu dikenali permatang kongolomerat yang menggambarkan ia satu yang besar dan hebat.

Gunung Ayam diketengahkan untuk penyelidikan mengenai ciri-ciri geologi dan geowarisan yang berpotensi. Geowarisan ialah kajian berkaitan mineral, batuan, fosil, tanah, bentuk muka bumi dan proses geologi daripada skala kecil saiz bijirin kepada skala serantau sebesar banjaran gunung.

Konglomerat Gunung Ayam meliputi kuarzit besar, arang batu dan grafit adalah beberapa ciri geowarisan yang dikenal pasti, dicirikan dan dinilai melalui penilaian geowarisan yang terdiri daripada kaedah kualitatif dan kuantitatif mengikut parameter tertentu. Hasil yang diperoleh boleh digunakan untuk menerangkan kepentingan ciri geowarisan untuk geopemuliharaan.

Kajian lebih terperinci perlu dilakukan untuk mendapat gambaran menyeluruh. Kekurangan data geologi daripada kajian lepas menyukarkan untuk mentakrifkan dan mengukuhkan perancangan mengenai ciri-ciri geowarisan untuk geopemuliharaan.

Aktiviti pembalakan dan peladangan di kawasan berkenaan perlu dilakukan secara berhemah bagi memastikan ciri-ciri geologi yang ada dipelihara dengan baik dan tidak dirobohkan oleh aktiviti ini.






No comments:

Post a Comment